Berita Harian

Andik bimbang ancaman pemain import Helang Merah

- Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Kapten Selangor, Andik Vermansyah

mahu pasukannya berwaspada dengan kelibat pemain import Kedah jika mahu memastikan Piala Malaysia kekal dalam genggaman pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, 30 Oktober ini.

Pemain kebangsaan Indonesia itu berkata, dia melihat skuad Helang Merah mempunyai awang import yang berbahaya dan boleh menjadi penghalang buat Selangor merangkul kejuaraan trofi berprestij itu buat kali ke-34.

“Jika pasukan mahu menjadi juara dan sekali lagi mengecewak­an Kedah, maka kita harus waspada dengan pemain import mereka (Kedah).

“Saya yakin Kedah akan turun dengan misi membalas dendam kekalahan final tahun lalu dan saya harap rakan sepasukan dapat kekalkan rentak permainan seperti mana bertemu T-team,” katanya ditemui sejurus Selangor menewaskan T-team 3-0, Sabtu lalu

Dia yang dipilih pemain terbaik perlawanan dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, berkata kejayaan pasukannya mara ke pentas akhir dua

(gambar)

tahun berturut-turut kerana kerja keras semua pemain, jurulatih, pegawai dan pihak pengurusan.

Putih mata

Pemain lincah berusia 24 tahun yang memiliki ketinggian 1.63 meter itu berkata, pasukannya boleh menjadi juara jika pasukannya dapat mengekalka­n semangat juang tinggi dalam pentas akhir.

Andik juga pasti jurulatih, K Gunalan akan menerapkan strategi dan percaturan yang lebih mantap bagi memastikan Kedah berputih mata buat kali kedua.

“Saya cukup gembira apabila berjaya membantu pasukan ke pentas akhir dan harapan saya kini mahu menjulang Piala Malaysia buat kali kedua bersama Selangor.

“Justeru, saya berharap pemain yang diturunkan jurulatih dalam perlawanan akhir nanti sekali lagi dapat bekerja keras buat pasukan,” kata bekas pemain Persejaya Surabaya itu.

Pada aksi final tahun lalu, Selangor menundukka­n Kedah 2-0 sekali gus menamatkan penantian 10 tahun untuk menjulang trofi berprestij itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia