Berita Harian

Kedah tak ‘jual’ perlawanan

Tekad benam FELDA sebelum jumpa Selangor pada final Piala Malaysia

- Oleh Izzali Ismail

Pertahanan kanan Kedah, Mohd Rizal Ghazali menegaskan Helang Merah tidak akan ‘menjual’ perlawanan terakhir Liga Super menentang FELDA United di Stadium Darul Aman, Jumaat ini semata-mata mahu memfokuska­n tumpuan kepada aksi final Piala Malaysia 30 Oktober nanti.

Menurut pemain berasal dari Baling itu, dia dan rakan sepasukan akan tetap turun memburu kemenangan sekalipun pertemuan berkenaan tidak memberi makna serta kesan langsung mengenai kedudukan mereka di tangga ketiga dan FELDA di tempat kedua.

“Perlawanan itu adalah yang terakhir musim ini di laman sendiri dan sudah tentu kami mahu menghadiah­kan kemenangan kepada penyokong setia kami yang sentiasa membanjiri stadium bagi memberi sokongan.

“Lagipun, kemenangan ke atas FELDA mampu menjadi tonik terbaik sebelum berdepan aksi final Piala Malaysia menentang Selangor,” katanya.

Lebih berbisa

Berdasarka­n kedudukan dalam carta, Kedah sah menamatkan kempen di tangga ketiga selepas mengumpul 37 mata dan tidak mampu dikejar Selangor dan Kelantan yang ketinggala­n sembilan mata di belakang. Skuad Helang Merah juga tidak mampu memintas FELDA di tangga kedua yang mengumpul 43 mata.

Mohd Rizal yang dipanggil pertama kali beraksi bersama skuad kebangsaan ketika perlawanan persahabat­an menentang Singapura bagaimanap­un optimis peluang Helang Merah menewaskan Selangor sekali gus menjulang Piala Malaysia lebih cerah selepas tewas pada aksi final tahun lalu.

Ini berdasarka­n kejayaan mereka mengikat juara bertahan itu 2-2 dalam pusingan pertama aksi Liga Super di Stadium Selayang pada 5 April 2016 sebelum menewaskan anak buah K Gunalan itu 1-0 pada pusingan kedua di laman sendiri, 6 Ogos lalu.

“Lagipun, kami tampil berbeza kali ini dengan kehadiran pemain baharu termasuk tonggak import yang lebih berbisa. Malah semangat kami kini lebih membara untuk menebus kekecewaan tahun lalu sekali gus menamatkan penantian lapan tahun menjulang trofi itu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia