Berita Harian

Tiada insentif khas automotif

Keadaan semasa industri dianggap masih terkawal

- Oleh Suffian A Bakar

Tiada keperluan bagi kerajaan memperkena­lkan langkah khas untuk peserta automotif tempatan bagi tujuan merangsang jualan industri berkenaan dalam Bajet 2017, kata Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, sungguhpun ia sektor penting dan satu daripada sektor strategik bagi Malaysia, situasi semasa masih ‘terkawal’ serta tiada keperluan untuk kerajaan menyediaka­n langkah istimewa (kepada peserta automotif) bagi merangsang jualan automotif.

“Keadaan semasa tidak memerlukan kepada langkah istimewa itu,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Hari MITI 2016 di Kuala Lumpur, semalam.

Peratusan jualan kenderaan Malaysia bagi separuh pertama 2016 menyusut dua angka disebabkan permintaan domestik semakin perlahan.

Perkukuh ekonomi negara

Menurut perangkaan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kenderaan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini menurun 14.5 peratus kepada 275,459 unit, daripada 322,254 unit dalam tempoh sama 2015.

Sehubungan itu, MAA turut menyemak turun jumlah jualan industri (TIV) 2016 kepada 580,000 unit daripada 650,000 unit sebelum ini.

Mustapa berkata, cadangan Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI) dalam Bajet 2017 lebih berkisar terhadap perkara mengukuhka­n ekonomi negara, seperti membawa masuk lebih banyak pelaburan dan perdaganga­n, serta memberikan sokongan bagi menggalakk­an lagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Justeru, cadangan kita sudah distruktur bagi terus mempromosi pertumbuha­n ekonomi negara. Kementeria­n juga sudah membangkit­kan isu berkaitan peningkata­n kos perniagaan kepada Menteri Kewangan.

“Ia adalah isu besar kepada perniagaan dan dalam keadaan semasa mereka perlu kompetitif, serta pada masa sama kita perlu sedar eksport sudah menjadi lebih kompetitif.

“Bagi perniagaan mereka mahu pastikan Bajet 2017 tidak menambahka­n lagi beban untuk mereka berniaga,” katanya.

 ?? [ FOTO SURIANIE MOHD HANIF /BH ] ?? Mustapa (tengah) merasmikan Hari MITI 2016 di Menara MITI, Kuala Lumpur, semalam.
[ FOTO SURIANIE MOHD HANIF /BH ] Mustapa (tengah) merasmikan Hari MITI 2016 di Menara MITI, Kuala Lumpur, semalam.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia