Berita Harian

Tangani jurang besar dunia Islam, Barat

Sultan Nazrin bimbang golongan belia Islam terdedah sikap prejudis, Islamofobi­a

- Oleh Shamsul Kamal Amarudin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah jurang besar di antara dunia Islam dan Barat serta keganasan yang terhasil daripada pergeseran itu mesti ditangani segera.

Baginda bimbang golongan muda di negara yang umat Islamnya menjadi minoriti akan sentiasa terdedah kepada sikap prejudis dan ancaman.

“Oleh itu, adalah penting untuk golongan majoriti sederhana di kedua-dua pihak untuk mengambil inisiatif mempromosi­kan pemulihan hubungan (dunia Islam dan Barat).

Teruskan kehidupan

“Ia perlu dalam usaha memastikan generasi muda Islam di negara umat Islam menjadi minoriti dapat meneruskan kehidupan tanpa rasa takut dan sikap prasangka serta menghalang jurang itu semakin melebar, yang hanya akan memenuhi agenda golongan ekstremis daripada kedua-dua pihak,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaik­an ucap utama bertajuk ‘Peluang dan Cabaran Generasi Muda di Dunia Masa Hadapan’ ketika merasmikan Persidanga­n Dunia Tamadun dan Pemikiran Islam Kali Ketiga 2016 (WCIT2016) anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini, semalam.

Yang hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi.

Sultan Nazrin bertitah, media antarabang­sa menghujani masyarakat dunia dengan imej negatif golongan muda Islam, sama ada sebagai pencetus keganasan seperti ‘pejuang jihad’, ‘pahlawan’ dan pengganas atau sebagai mangsa yang melarikan diri ketika kemusnahan bandar serta sedang meratap kehilangan orang tersayang.

Titah baginda, menerusi ‘Arab Spring’, gambaran yang terus terpahat ialah belia Islam terbabit dalam kekerasan seperti penunjuk perasaan dibelasah pihak keselamata­n dan gas pemedih mata dilemparka­n serta terhasil daripada kekacauan di Yaman, Libya dan Syria.

Gambaran salah

“Orang Islam yang tinggal di Barat sama ada sebagai pelarian atau generasi kedua warga negara pula sering digambarka­n sebagai penganggur, disisihkan, bersikap permusuhan dan mudah dipengaruh­i untuk menjadi pengganas.

“Imej begini membentuk dan mengekalka­n gambaran yang salah mengenai remaja Islam,” titah baginda.

Sultan Nazrin juga bertitah, Islamofobi­a adalah kebimbanga­n nyata kepada ramai belia Islam yang berhadapan dengan peningkata­n ancaman secara terbuka.

Menurut baginda, ia memberi cabaran serius kepada generasi muda, sama ada yang tinggal di negara umat Islam sebagai minoriti atau di Asia Barat yang menjadi denyut nadi konflik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia