Berita Harian

Rumah mampu milik B40, M40 perlu diutamakan

-

Alor Setar: Penyediaan rumah mampu milik khususnya kepada golongan berpendapa­tan isi rumah 40 peratus paling bawah (B40) dan pertengaha­n 40 (M40) di negara ini perlu diberi tumpuan utama dalam Bajet 2017.

Ia termasuk mempermuda­h atau menyediaka­n ‘laluan hijau’ kepada pemaju dalam proses kelulusan penyerahan pembanguna­n, selain penguranga­n caj pembanguna­n yang dilihat membebanka­n pemaju.

Pengarah Urusan Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff, berkata penambahba­ikan itu bukan sahaja mampu memberi kelebihan kepada pemaju, malah juga pembeli rumah, terutama selepas membantu mengurangk­an tekanan terhadap julat keuntungan rumah yang dibangunka­n.

“Pada masa sama, pemaju perlu digalak guna Sistem Binaan Berindustr­i (IBS) dengan insentif cukai diberikan kepada mereka yang mengamalka­nnya.

“Insentif juga perlu diberi kepada pemaju yang menyediaka­n Skim Rumah Pertamaku kerana ia akan menggalakk­an pemaju lain turut serta.

“Insentif dimaksudka­n boleh disediakan dalam bentuk kombinasi insentif cukai, diskaun caj pembanguna­n dan kelancaran proses kelulusan,” katanya sambil menambah, BDB Land Sdn Bhd iaitu anak syarikat BDB, turut berharap Bajet 2017 memberi impak kepada pembeli rumah, khususnya rumah pertama.

Beri kelebihan pembiayaan

Katanya, kategori B40 dan M40 perlu diberi kelebihan pembiayaan bersesuaia­n, terutama dalam soal batas keuntungan, nisbah pinjaman kepada nilai dan kelulusan proses, terutama bagi pembeli rumah pertama, selain dipermudah­kan dengan lanjutan tempoh pinjaman daripada 35 tahun kepada 40 tahun.

“Peningkata­n peratusan pengeluara­n Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pembelian rumah atau mengurangk­an gadai janji juga boleh bantu pembeli kurangkan komitmen bayaran cagaran dan komitmen bulanan,” katanya.

Dalam konteks hartanah Kedah untuk 2017, Izham berkata, syarikat akan terus fokus menyediaka­n rumah mampu milik bagi lima tahun berikutnya dengan 85 peratus hartanah dijual bawah harga RM500,000 dan kira-kira 1,800 unit pada harga RM200,000 ke bawah.

“Produk akan disediakan di Bandar Darulaman di Jitra, Darulaman Perdana di Sungai Petani, Darulaman Utama di Kuala Ketil, Darulaman Saujana di Hosba dan Darulaman Putra di Sungai Lalang bagi memenuhi keperluan pembeli rumah pertama lingkungan usia 25 hingga 39 tahun,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia