Berita Harian

Cari alternatif bantu pemandu teksi

Sistem e-hailing tidak bantu tingkat mutu perkhidmat­an

-

Oleh Mohd Iskandar

Ibrahim, Nadia Hamid dan Wan Nur Faliqha Wan Hazani

Rata-rata pemandu teksi mendakwa sistem e-hailing (e-panggilan) seperti digunakan perkhidmat­an Uber dan Grabcar, yang menjadi antara inisiatif baharu Program Transforma­si Industri Teksi bagi meningkatk­an mutu perkhidmat­an teksi, tidak membantu meningkatk­an pendapatan mereka.

Mereka sebaliknya mendakwa, sistem yang bakal diperkenal­kan kerajaan pada tahun hadapan itu sudah diguna pakai pengusaha teksi sejak dua tahun lalu.

Malah, ada kalangan pemandu teksi mendakwa aplikasi e-hailing seperti Grab yang dipasang di telefon pintar mereka kurang menerima tempahan pelanggan.

Pemandu teksi, Mohamad Yanis Mohamad Nor, 60, berkata sistem berkenaan tidak banyak membantu pengusaha teksi menjana pendapatan kerana terpaksa bersaing dengan pengusaha kereta sapu berasaskan aplikasi lain.

“Saya sendiri ada memasang aplikasi Grab pada telefon pintar, namun ia tidak membantu langsung kerana ada hari saya tidak mendapat sebarang tempahan melalui aplikasi terbabit.

“Malah ada aplikasi baharu iaitu Move yang saya gunakan sejak sebulan lalu juga tidak mendapat sambutan seperti diharapkan. Kini Menteri (di Jabatan Perdana Menteri) pula minta kami gunakan e-hailing,” katanya ketika ditemui, semalam.

Kerajaan perlu tinjau keadaan

A Mathuraive­eran, 57, yang memandu teksi sejak 11 tahun lalu, berkata tidak ramai pengguna yang menempah teksi melalui e-hailing kerana mereka lebih cenderung kepada Uber dan Grabcar.

“Dalam sehari, kurang dua tempahan diterima melalui e-hailing. Bagaimana hendak meneruskan hidup di bandar kalau pendapatan harian terus merosot?

“Kerajaan sepatutnya melihat keadaan kami terlebih dahulu dan turun padang meninjau bagaimana kami bekerja demi mencari sesuap nasi,” katanya.

Sementara itu, Zakirhusin Abdul Wahid, 52, berkata kerajaan sepatutnya mencari kaedah lain membantu pemandu teksi yang kian terhimpit dengan pelbagai beban.

“Lupakan soal e-hailing, kerajaan perlu mengkaji semula keputusan untuk membenarka­n Uber dan Grabcar beroperasi secara sah.

“Jika Uber dan Grabcar dibenarkan beroperasi secara sah, mereka juga perlu melalui prosedur sama dengan teksi seperti memohon permit, pastikan pelanggan dilindungi insurans dan sebagainya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia