Berita Harian

Remaja 18 tahun hilang bot terbalik dipukul ombak

Abdul Shakair jadi mangsa pertama fenomena air pasang besar

- Oleh Muhammad Mustakim Ramli

Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun menjadi mangsa pertama fenomena air pasang besar yang melanda pantai barat Semenanjun­g, selepas hilang sebaik bot dinaikinya terbalik dipukul ombak di perairan Kuala Sanglang, pagi semalam.

Kejadian berlaku pada jam 2.30 pagi ketika mangsa, Abdul Shakair Abd Rahman, keluar ke laut bersama tiga lagi rakan menggunaka­n dua bot fiber untuk mencari udang di kawasan perairan terbabit sebelum tiba-tiba satu daripada bot digunakan terbalik dibadai ombak besar.

Kejadian berlaku pantas

Rakan mangsa, Muhammad Izwan Hamdan, 28, berkata kejadian berlaku pantas apabila bot mereka yang dipukul ombak mula dipenuhi air laut, menyebabka­n mereka kelam-kabut menimbanya keluar untuk mengelak bot karam.

“Sebaik bot terbalik, saya segera mencari Abdul Shakair yang dilihat cuba berenang sambil terkapai-kapai di laut tidak jauh dari bot kami yang terbalik.

“Saya sempat menjerit memanggil namanya untuk segera berenang dan berpaut pada bot kerana khuatir melihat ombak besar ketika itu, namun dia kelihatan terlalu lemah sebelum terus hilang dibawa ombak,” katanya.

Muhammad Izwan berkata, dia bernasib baik kerana lampu suluh yang dibawa tidak jatuh ke laut dan menggunaka­n cahaya lampu sebagai isyarat memanggil dua rakan yang ketika itu berada dalam bot berasingan 1.5 kilometer (km) dari situ membantu.

“Selepas dua rakan itu tiba setengah jam kemudian, kami cuba mencari Abdul Shakair di kawasan sekitar, tetapi gagal.

“Kami pulang ke daratan pada jam 5 pagi memaklumka­nnya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Zaharul Amin Ahmad, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) dan polis.

“Operasi berdepan kesukaran kerana air pasang dan tidak menolak kemungkina­n mangsa dibawa ke tengah laut, namun setakat ini operasi SAR digerakkan dalam lingkungan enam kilometer dari pesisir pantai,” katanya.

 ??  ?? Abdul Shakair Abd Rahman
Abdul Shakair Abd Rahman
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia