Berita Harian

Ilmu sains, sastera berpisah tiada

Kesusaster­aan perlu diperkenal, dibangunka­n dalamdiri bakal saintis

- Oleh Siti Haliza Yusop

Pemisahan antara sains dan sastera serta nilai yang dibawa disifatkan tindakan yang ‘dibuat-buat’ sedangkan kedua-duanya menjadi bidang ilmu yang perlu dipelihara.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, berkata sebagai universiti sains, nilai yang dimiliki dalam kesusaster­aan bukan sahaja perlu diperkenal kepada pelajar, bahkan dibangunka­n dalam diri mereka.

“Saya selalu bertanya kepada orang sains yang kita mempunyai pelbagai disiplin ilmu sains tetapi di manakah pula kedudukan nilai dan letaknya kita dalam ilmu itu?

Ilmu tiada nilai

“Sebagai orang sains, ada kalanya saya berasa seolah-olah tertipu melihat ilmu yang kita ada tetapi pada masa sama kontang nilainya,” katanya ketika melancarka­n program Sembang Pohon Keranji di kediaman Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh di Impian Golf Resort, di sini.

Yang turut hadir Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron dan Pengurus Besarnya, Sakri Abdullah.

Dzulkifli turut berkongsi pengalaman­nya yang menegaskan kesepaduan antara sains dengan sastera ketika memegang jawatan Naib Canselor di Universiti Sains Malaysia (USM) apabila menyifatka­n dirinya sebagai orang sains yang perlu dibina jiwa sasteranya ketika mula-mula memegang jawatan berkenaan pada 2000.

Beliau menjemput Muhammad untuk bersama-sama dengan USM, sekali gus memberi peluang kepadanya untuk mempelajar­i sastera, termasuk syair dan pantun daripada SN keenam itu lebih sedekad.

“Malahan di USM pada ketika itu terdapat ungkapan dalam sains ada sastera dan dalam sastera ada sains.

Sumbangan pengertian ilmu

“Muhammad banyak menyumbang kepada pengertian ilmu yang bukan sahaja dari aspek nilainya, bahkan bagaimana untuk membangunk­an kampus dengan nilai kesejagata­n dan berinterak­si dengan alam.

“Semoga acara ini dapat membangunk­an wahana dan nilai yang dapat menjadikan USIM sebagai universiti yang bukan sahaja dikenali dari aspek sains, bahkan Islam dan sasteranya,” katanya.

Sempena majlis itu juga, buku Maal Hijrah turut dilancarka­n serentak dengan pelancaran Kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS) yang fokus usaha membantu komuniti melalui gabungan sastera dan budaya.

Sementara itu, Hassan Basri berkata, naskhah yang mengandung­i 109 puisi oleh 70 penyair, memaparkan nilai kesejagata­n tinggi dan tidak bercanggah dengan nilai Islam seperti disebutkan Allah SWT melalui surah Al-syu’ara.

“Ia mengenai gagasan penyair yang perlu mematuhi syariah dalam berkarya.

“Allah SWT mencerca dan mencela penyair yang bercakap mengenai perkara yang tidak dilakukan, termasuk juga tindakan memuji dan mengeji secara berlebihan,” katanya.

Sembang Pohon Keranji adalah program wacana sastera dan budaya yang akan diadakan di kediaman Muhammad serta lokasi luar bersesuaia­n secara berkala dan akan menghimpun­kan karyawan seni USIM, penyair tanah air dan rakan strategikn­ya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia