Berita Harian

Matthaus mahu Ancelotti lebih tegas dengan pemain

-

Munich: Legenda Bayern Munich, Lothar Matthaus merasakan pendekatan ‘tenang’ Carlo Ancelotti terhadap kelab itu tidak berkesan dan menggesa pengendali kelahiran Itali itu lebih tegas berdepan dengan pemainnya.

Juara Jerman itu ketika ini tampak bergelut dengan prestasi gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut termasuk kekalahan kepada Atletico Madrid dalam kempen Liga Juara-juara.

Keputusan buruk itu menyaksika­n Ancelotti berdepan kritikan dan Matthaus percaya pengurus berusia 57 itu tidak mempunyai pilihan selain daripada mengubah cara dia mengawal pemainnya.

Gugurkan pemain

“Memberikan pemain sedikit kebebasan adalah perkara yang baik untuk satu perkara, namun kami perlu memberi pengajaran kepada mereka jika kamu melihat ia tidak berhasil,” kata Matthaus.

Pikul tanggung jawab

“Pemain-pemain akan merasai akibatnya, terutama siapa yang mengecewak­an Ancelotti, pemain yang tidak beraksi seperti jangkaan. Dengan skuad yang kuat seperti itu, pemain-pemain boleh digugurkan daripada kesebelasa­n utama.

“Saya fikir Ancelotti perlu menjadi lebih tegas dengan pemainnya. Saya fikir ia perkara yang baik dan meletakkan tanggungja­wab kepada pemain untuk memikul tanggungja­wab mereka sendiri, namun mungkin sesetengah mereka tidak memahaminy­a.”

Bayern dijadual menanti kunjungan kelab Belanda, PSV awal pagi esok dan perlu menang selepas kekalahan kepada Atletico dalam Kumpulan D yang turut diisi kelab Russia, Rostov.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia