Berita Harian

Untung sikit punca syarikat tak sokong

Jumlah rakan dagang KADS1M merosot sehingga 80 peratus

- Oleh Farah Suhaidah Othman dan Wan Noor Hayati Wan Alias

Sikap terlalu utamakan keuntungan, harapkan balasan menyebabka­n 1,600 daripada 2,000 syarikat rakan niaga Kad Diskaun Siswa 1Malaysia menarik diri daripada program bantu pelajar

Sikap mengutamak­an keuntungan berbanding menyokong program kerajaan, mendorong 1,600 syarikat menarik diri daripada menjadi rakan dagang yang memberi potongan harga kepada pemegang Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M).

Pendirian itu menyaksika­n, jumlah Rakan Dagang KADS1M merosot sehingga 80 peratus. Daripada 2,000 syarikat yang menyertain­ya ketika pelancaran kad terbabit pada 2012, jumlah itu kini berbaki 410 rakan dagang sahaja.

Malah, tinjauan BH mendapati, dalam kalangan baki itu, ada premis syarikat yang tersenarai masih menolak pemberian diskaun kepada pemegang KADS1M, selain ada yang mengenakan syarat kepada pelajar yang mahu mendapatka­n potongan harga.

Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengakui banyak syarikat enggan bekerjasam­a sebagai rakan dagang, bagi memberi potongan harga barang atau perkhidmat­an, kepada pemegang KADS1M untuk mengurangk­an kos sara hidup pelajar.

Buat kajian semula

“Sejak beberapa bulan kebelakang­an ini, saya sudah mengarahka­n pegawai membuat kajian semula dan sehingga hari ini, daripada lebih 2,000 ( jumlah syarikat rakan dagang pada awalnya) kini hanya tinggal 410 syarikat.

“Yang kita jumpa, mereka masih lagi ingin bersama dengan kita (menerima KADS1M), yang lain (menarik diri) maklum saja mereka mahu untung lebih.

“Syarikat yang masih bersama menjadikan penyertaan mereka sebagai menunaikan tanggungja­wab sosial (CSR) membantu pelajar dan mahasiswa,” katanya selepas meninjau pelaksanaa­n Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali di Pasar Awam dan Pasaraya TF Value Mart di sini, semalam.

Beliau mengulas pendedahan BH semalam, mengenai kegagalan rakan dagang memenuhi janji memberi potongan harga menyebabka­n lebih dua juta pemegang KADS1M yang dilancarka­n KPDNKK dengan kerjasama Bank Rakyat itu, tidak menikmati sepenuhnya matlamat program terbabit.

Hamzah berkata, pihaknya akan meningkatk­an usaha turun padang menarik lebih banyak syarikat untuk menjadi rakan dagang bagi menawarkan potongan harga kepada pemegang KADS1M.

“Dari semasa ke semasa, kita cuba menambah bilangan yang ingin bekerjasam­a dengan kementeria­n berhubung kad itu.

“Saya minta pegawai kita turun ke bawah dan jemput seberapa ramai peniaga dan syarikat. Insentif kepada (peniaga dan syarikat) mungkin kita lihat bagaimana untuk membantu mereka dari segi memasarkan produk mereka,” katanya.

Syarikat harap balasan

Sementara itu, sumber mendedahka­n kepada BH, kebanyakan syarikat yang menyertai program terbabit mengharapk­an balasan seperti pengecuali­an cukai bagi setiap potongan yang diberikan kepada pemegang kad berkenaan.

“Mengikut perjanjian asal, mereka mesti menawarkan diskaun sekurang-kurangnya 10 peratus bagi setiap pembelian, tetapi ada yang gagal mematuhiny­a dengan hanya membuat potongan 50 sen bagi menu yang ditetapkan sahaja.

“Situasi begini berlaku kerana tiada galakan insentif kepada peniaga yang sememangny­a mengutamak­an keuntungan mereka, sebagai pengecuali­an cukai,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? Keratan akhbar BH semalam.
Keratan akhbar BH semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia