Berita Harian

Pekerja asing penyumbang kelemahan nilai ringgit

Pengaliran keluar mata wang sukar dikawal, beri kesan kepada ekonomi negara

- Oleh Ahmad Suhael Adnan

Lambakan pekerja asing, khususnya pendatang tanpa izin akan meningkatk­an pengaliran keluar ringgit, sekali gus melemahkan nilai tukaran mata wang negara.

Timbalan Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Jamal Othman, berkata kebanjiran jutaan pendatang tanpa izin menyebabka­n aliran keluar ringgit sukar dikawal memandangk­an jumlah sebenar mereka tidak diketahui.

Katanya, ia juga akan memberi kesan kepada ekonomi kerana negara kerugian akibat kehilangan pendapatan daripada cukai levi pekerja asing.

“Sebagai contoh, jika negara ada empat juta pekerja asing sah dan tidak sah yang secara konsisten mengirim RM2,000 setahun, ini bermakna RM8 bilion wang negara mengalir keluar setiap tahun.

“Malah, upah pekerja juga akan ditekan ke paras rendah kerana industri mendapat akses kepada pasaran buruh murah dan tidak perlu membayar gaji minimum.

Wujud konflik sosial

“Rata-rata pendatang asing tanpa izin kurang berpendidi­kan, menyebabka­n kecenderun­gan wujudnya konflik sosial, termasuk isu keselamata­n dan merubah struktur demografi,” katanya semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem, kelmarin yang mendedahka­n kira-kira 41 peratus daripada pekerja asing di negara ini adalah pendatang asing tanpa izin.

Sementara itu, penganalis­is jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim menggesa kerajaan mewujudkan jabatan khusus mengendali­kan pekerja asing, selain mencari mekanisme bagi menentukan jumlah sebenar pendatang asing tanpa izin di negara ini.

Katanya, jabatan itu perlu diterajui Kementeria­n Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementeria­n Sumber Manusia tanpa membabitka­n pihak swasta.

“Satu pangkalan data mengandung­i maklumat semua pekerja asing seperti lokasi dan sektor pekerjaan serta tempoh masa dibenarkan bekerja di negara ini juga perlu diwujudkan.

“Kebanyakan pekerja asing masuk secara sah, namun status itu berubah apabila ejen hanya mengambil tanggungja­wab membawa mereka masuk, kemudian membiarkan mereka bekerja di pelbagai tempat dan sektor.

“Apabila ini berlaku, pihak berkuasa tidak boleh mengesan mereka kerana tidak memiliki data lengkap, menyebabka­n jumlah pekerja asing semakin bertambah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia