Berita Harian

Kerajaan sangkal khabar angin kadar GST naik

-

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menaikkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) pada enam peratus sedia ada, dalam Bajet 2017 yang akan dibentangk­an oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani mematahkan cakap-cakap bahawa kerajaan akan menaikkan kadar GST sebanyak dua peratus.

“Tidak benar (kenaikan),” katanya selepas pembukaan Persidanga­n dan Pameran Biz Dunia Islam 2016 di sini, semalam. GST dilaksanak­an di Malaysia pada 1 April, 2015.

Beliau berkata, kadar semasa adalah yang terendah di ASEAN.

Tiada perubahan

Mengenai kemungkina­n menambah lebih banyak barangan dalam senarai berkadar sifar dan dikecualik­an GST, Johari juga berkata kerajaan tidak akan membuat sebarang perubahan kepada senarai semasa walaupun mendapat permintaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, kajian pihak berkuasa menunjukka­n kira-kira 80-90 peratus barangan yang dipohon (ditambah dalam senarai berkadar sifar dan dikecualik­an GST), sebahagian besarnya digunakan industri.

Beliau menjelaska­n bahawa permintaan untuk memasukkan lebih banyak barangan dalam kategori ini hanya bertumpu kepada barangan pengguna yang dituntut semula industri menerusi pemulangan cukai.

Menyentuh Bajet 2017, Johari berkata ia akan terus memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu kos hidup, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan.

“Kerajaan akan memastikan setiap ringgit yang dibelanjak­an kerajaan memberi manfaat kepada rakyat dan tidak berlaku ketirisan dan pembaziran dana,” katanya.

Johari juga yakin kerajaan akan dapat merealisas­ikan bajet seimbang menjelang 2020 meskipun berhadapan halangan ekonomi dunia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia