Berita Harian

Isteri mangsa lega detik menakutkan berakhir

-

Tumpat: Penahanan suspek yang menikam hingga mati bakal abang iparnya, semalam, melegakan isteri mangsa yang hidup dalam ketakutan selepas kejadian itu.

Balu kepada anggota Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) itu, Noriah Lah, 34, berkata selepas suaminya, Mohamad Shukri Husin, 34, maut ditikam pada Ahad lalu, dia bimbang suspek akan mencarinya dan keluarga untuk membuat sesuatu yang tidak baik.

(gambar)

“Kini kami tidak lagi hidup dalam ketakutan selepas suspek ditahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Keli, di sini.

Suspek ditahan di tepi jalan di Kampung Petai Bubus, Manir, Terengganu, kira-kira jam 12 tengah hari semalam, oleh sekumpulan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Pada 16 Oktober lalu, Mohamad Shukri ditikam suspek selepas berlaku pertengkar­an di kawasan tempat letak kereta di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu.

Sarat mengandung

Noriah yang sarat mengandung anak sulung berkata, selepas dimaklumka­n berita penahanan suspek, dia bersyukur kerana doanya sudah dimakbulka­n Allah.

“Selepas suami dibunuh dan suspek melarikan diri, saya memang risau jika dia datang ke sini mencari kami untuk diapaapaka­n, namun bersyukur polis berjaya menahannya,” katanya.

Noriah berharap suspek menerima hukuman setimpal di atas perbuatan kejamnya itu.

“Saya dan keluarga juga meminta orang ramai berhenti menyalahka­n adik ipar dengan pelbagai tuduhan kerana dia juga tidak mahu kejadian ini berlaku,” katanya yang kini menetap bersama ibunya, Che Aini Dolah, 58, di Kampung Kok Keli.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia