Berita Harian

Pesta kutip mentarang di pantai Kota Kuala Muda

Fenomena beri rezeki kepada penduduk tempatan

- Oleh Omar Osman

Fenomena air pasang besar yang melanda pesisir pantai Kota Kuala Muda, di sini, sejak seminggu lalu membawa tuah kepada penduduk apabila ribuan siput mentarang yang jarang ditemui secara mudah boleh dikutip.

Tinjauan BH mendapati sejak jam 7 pagi, lebih 50 penduduk berpesta di pantai Kampung Masjid selepas lebih 15 tahun siput terbabit tidak ditemui di kawasan itu.

Menjelang tengah hari, lebih sehingga 10kg ramai penduduk ke pantai membawa pelbagai bekas dan plastik untuk mengutip mentarang.

Seorang penduduk, Sulaiman Ishak, 23, berkata penemuan siput mentarang selepas fenomona air pasang umpama membawa rezeki besar selepas tidak boleh ke laut sejak seminggu.

“Saya bersama puluhan penduduk kampung turun ke pantai seawal jam 7 pagi untuk mencari siput mentarang hingga mampu memperoleh antara dua hingga 10 kilogram.

“Jika mahu menjual, harganya agak tinggi, iaitu RM6 hingga RM7 satu kilogram dan ini membolehka­n saya mendapat RM30 hingga RM60 hasil jualan,” katanya ditemui di sini, semalam.

Ahmad Baharom, 48, dari Kampung Hujung Matang pula berkata, sudah lebih 15 tahun mentarang tidak muncul di kawasan pantai ini dan apabila berlakunya fenomena air pasang, ia umpama tuah kepada penduduk.

“Sejak penemuan siput mentarang di pantai ini, saya tidak mahu ketinggala­n untuk bersama penduduk lain mencari siput itu, biarpun terpaksa meredah selut dan lumpur yang tebal.

“Isi siput mentarang ini memang sedap, terutama jika dimasak gulai mumbang kelapa atau jantung pisang, selain goreng bersama cili api. Biarpun letih, namun hasil siput yang diperoleh berbaloi,” katanya.

 ?? [ FOTO OMAR OSMAN/BH ] ?? Penduduk mengutip siput mentarang di pantai Kota Kuala Muda, berikutan fenomena air pasang besar, semalam.
[ FOTO OMAR OSMAN/BH ] Penduduk mengutip siput mentarang di pantai Kota Kuala Muda, berikutan fenomena air pasang besar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia