Berita Harian

Mayat mangsa bot terbalik ditemui

-

Kangar: Mangsa bot terbalik selepas dipukul ombak kerana fenomena air pasang di perairan Kuala Sanglang di sini, yang hilang sejak kelmarin, ditemui pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superinten­dan Wari Kiew, berkata mayat Abdul Shakair Abd Rahman, 18, ditemui oleh pasukan Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kedah dalam keadaan timbul dan terlentang, pada jam 10 pagi.

“Mayat mangsa tanpa sebarang kecederaan pada tubuh ditemui kira-kira lapan kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat dan kes diklasifik­asikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Kastam Kuala Perlis, di sini, semalam.

BH semalam melaporkan, seorang remaja lelaki dikhuatiri menjadi korban pertama fenomena air pasang besar apabila hilang di perairan Kuala Sanglang di sini, selepas bot yang dinaiki bersama seorang rakan terbalik akibat dipukul ombak pada jam 2.30 pagi.

Pautpadabo­t

Mangsa dipercayai lemas susulan ombak kuat, manakala rakannya yang terselamat, Muhammad Izwan Hamdan, 28, berjaya menyelamat­kan diri dengan berpaut pada bot, sebelum diselamatk­an rakan mereka yang lain.

Sementara itu, suasana sedih menyelubun­gi Jeti Kastam Kuala Perlis, apabila proses pengecaman identiti mangsa dilakukan oleh ibunya, Sharifah Mat Arus, 58 dan abangnya, Mohd Shahir Abd Rahman, 21.

Kedua-dua mereka enggan ditemubual kerana masih bersedih dan terkejut dengan kejadian yang menimpa anak bongsu daripada dua beradik itu.

Saudara terdekat mangsa yang enggan dikenali berkata, bapa mangsa, Abdul Rahman Ismail, 73, baru sahaja menjalani pembedahan selepas mengalami masalah jantung.

“Sebelum ini, arwah tidak turun ke laut kerana menjaga ayahnya yang baru keluar dari hospital, cuma selepas ayahnya semakin sihat, dia turun semula ke laut,” katanya.

Jenazah Allahyarha­m Abdul Shakair dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Padang, Simpang Empat, dekat sini, selepas solat Asar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia