Berita Harian

Mencari keberkatan ziarah orang soleh

-

Allah SWT merahmati orang yang soleh dan golongan ini mendapat perkhabara­n gembira di dunia dan akhirat dengan beroleh keredaan-nya. Justeru, kita digalakkan menziarahi dan bergaul dengan orang soleh supaya mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Suffian bin Uyainah menyebut, “Jika disebutkan nama orang soleh, maka akan turunnya rahmat dan keberkatan.” Jika menyebut nama mereka menyebabka­n turunnya rahmat Allah SWT, apa lagi sering menyebut mengenai Rasulullah SAW yang juga penghulu orang soleh.

Diriwayatk­an oleh Imam Muslim daripada Anas bin Malik, selepas kewafatan Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar al-siddiq dan Saidina Umar al-khattab menziarahi rumah Ummu Aiman kerana ketika Rasulullah SAW masih hidup, Baginda sentiasa menziarahi beliau.

Ketika tiba, mereka melihat Ummu Aiman sedang menangis dan ditanya kenapa bersedih sedangkan pada ketika itu Rasulullah SAW sudah berada pada kedudukan yang lebih baik di sisi Allah SWT.

Ummu Aiman berkata, “Aku tidak menangis kerana mengetahui Baginda SAW berada di tempat yang lebih baik di sisi Allah SWT. Namun, aku menangis kerana wahyu telah terputus dari langit.”

Mendengar jawapan Ummu Aiman itu, Saidina Abu Bakar alsiddiq dan Saidina Umar alkhattab menangis.

Sahabat saling menziarahi orang soleh dalam kalangan mereka dan Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre melalui perkongsia­nnya dalam slot Mau’izati di IKIMFM berkata, teladan ini perlu dicontohi umat Islam.

Beliau mengulas hadis diriwayatk­an Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW mengenai seorang pemuda yang bermusafir untuk menziarahi saudaranya. Ketika dia bermusafir, Allah SWT mengutuska­n malaikat untuk bertemu pemuda itu.

Maksud ziarah

Malaikat bertanya ke manakah destinasi tujuannya. Pemuda itu menyatakan hasratnya untuk menziarahi saudaranya di sebuah kampung. Malaikat bertanya adakah ziarahnya itu mempunyai maksud tertentu.

Lalu dijawab pemuda itu dia tidak mempunyai tujuan tertentu kecuali menyayangi saudaranya itu kerana Allah SWT. Malaikat memberitah­u pemuda itu bahawa dia diutuskan Allah

SWT dan sesungguhn­ya Allah SWT mencintain­ya seperti cintanya terhadap saudaranya itu.

Rasulullah SAW apabila ditanya seorang Badwi bilakah akan berlakunya Hari Kiamat, Baginda bertanya kepadanya adakah dia sudah membuat persiapan untuk menghadapi­nya. Pemuda itu berkata dia tidak melakukan apa-apa persediaan dan tidak banyak melakukan amalan selain mencintai Allah dan Rasulnya. Lalu Rasulullah berkata, “Engkau akan bersama dengan orang yang engkau sayangi.”

Mudah-mudahan apabila kita menyayangi orang soleh dan ulama, Allah SWT mengumpulk­an kita bersama mereka. Menziarahi orang soleh tidak seharusnya dilakukan ketika mereka masih hidup, bahkan setelah meninggal dunia juga masih ada tuntutan menziarahi kubur golongan itu.

Sesungguhn­ya menziarahi kubur mengingatk­an kita kepada hari akhirat, mendapat iktibar dan diberi ganjaran pahala kerana ia adalah sunah.

Imam al-zahabi menyebut, doa di kubur nabi dan solihin adalah antara doa yang mustajab dengan syarat diperbetul­kan akidah iaitu memohon kepada Allah SWT dan hanya mengambil keberkatan daripada-nya.

Jaga adab ziarah orang soleh

Menziarahi golongan soleh mempunyai banyak kelebihan seperti disebut oleh Ibnu Ataillah al-sakandari, kita boleh meniru daripada mereka apabila duduk bersama.

Perhatikan dengan siapa kita duduk dan jangan berkawan melainkan orang yang akan menunjukka­n kita kepada Allah SWT, sudah tentulah mereka adalah dalam kalangan orang yang soleh.

Menziarahi orang soleh perlu disertakan adab seperti memohon keizinanny­a terlebih dahulu. Selain itu, ziarah mereka dalam keadaan kenyang.

Elakkan juga mengambil masa yang lama ketika menziarahi orang soleh, seperti sahabat menziarahi Rasulullah SAW. Pastikan tujuan menziarahi mereka adalah jelas iaitu untuk beroleh keberkatan dan rahmat Allah SWT, selain mengambil ibrah pengajaran daripada mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia