Berita Harian

Mahrez kukuhkan peluang Leicester

-

Leicester: Riyad Mahrez membantu Leicester City meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Juara-juara selepas mengatasi FC Copenhagen 1-0 awal pagi semalam.

Jaringan minit ke-40 Mahrez di Stadium King Power meletakkan skuad kendalian Claudio Ranieri lima mata selesa di hadapan pesaing terdekat untuk mendahului Kumpulan G dengan rekod 100 peratus dan masih belum dibolosi.

Dengan Porto menang 2-1 ke atas Club Brugge dalam satu lagi perlawanan kumpulan berkenaan, Leicester bakal memastikan tempat ke kelompok 16 terakhir sekiranya menang di Copenhagen pada perlawanan seterusnya 2 November ini.

Bergelut di EPL

“Kami berada di kedudukan terbaik sekarang,” kata Ranieri yang kini sudah mengesahka­n tempat sekurang-kurangnya pada peringkat kalah mata Liga Europa.

“Kami sedar ia pasti sukar. Copenhagen berjuang hingga minit terakhir. Ia sukar pada permulaan, tetapi persembaha­n pasukan amat baik.”

Leicester bagaimanap­un bergelut di liga domestik, dengan misi mempertaha­nkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris sudah di luar jangkauan apabila tewas empat kali dalam lapan perlawanan, tetapi di Eropah memori kemenangan menakjubka­n musim lalu tampak seperti bakal berulang.

Ranieri perlu berterima kasih kepada penjaga gol kelahiran Copenhagen, Kasper Schmeichel yang menyelamat­kan percubaan Andreas Cornelius ketika permainan hampir tamat.

“Ia tindakan cemerlang daripada Kasper Schmeichel di akhir permainan,” kata Ranieri. “Kami berhak mendapat kemenangan bersih malam ini.”

Ia adalah kekalahan pertama dalam 24 perlawanan buat Copenhagen kendalian Stale Solbakken, tetapi mereka kekal di tangga kedua dengan empat mata, manakala Leicester mengumpul sembilan mata penuh daripada tiga perlawanan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia