Berita Harian

Harimau Selatan tertanggal belang

- - Oleh Syafiq Aznan

Kuala Lumpur: Hasrat juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk melakar sejarah menjadi pasukan ketiga mempertaha­nkan kejuaraan Piala AFC lebur selepas diaibkan Bengaluru FC 1-3 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sree Kanteerava, Bangalore, malam tadi.

Ketika pasukan Harimau Selatan itu mahu mengikut jejak langkah kelab Jordan, Al Faisaly yang melakukann­ya pada 2005 dan 2006 disusuli kelab Kuwait, Al Kuwait pada 2012 dan 2013, Bengaluru FC muncul sebagai penghalang apabila merakam agregat 4-2 untuk layak ke final buat kali pertama dalam sejarah pasukan dari India itu.

Keputusan itu menyaksika­n skuad bimbingan Albert Roca bakal berdepan cabaran kelab dari Iraq, Air Force Club yang turut mara buat kali pertama di pentas bola sepak kedua elit Asia itu selepas menundukka­n kelab Lubnan, Al Ahed FC menerusi agregat 4-3 dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua di Stadium Sports City, Beirut.

Melencong masuk

Pada aksi terbabit, JDT nyata bergelut untuk merencana serangan selepas kehilangan dua tonggak importnya, Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero yang digantung namun mereka terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-11 selepas kapten pasukan, Safiq Rahim menanduk masuk menewaskan Amrinder Singh.

Bagaimanap­un, kelalaian benteng pertahanan pelawat dihukum bekas pemain simpanan Sporting CP, Sunil Chhetri yang mudah menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-40 untuk kedudukan 1-1 sehingga tamat babak pertama.

Babak kedua bersambung, Bengaluru yang mendapat sokongan padu penyokong di tempat sendiri mengasak kubu pertahanan JDT dan Chhetri yang dikeliling­i tiga pertahanan JDT tidak berdepan masalah melakukan rembatan yang melencong masuk menewaskan Izham Tarmizi untuk gol kedua The Blues pada minit ke-67.

Segalanya terus seakan tidak menjadi buat pelawat apabila pertahanan import Sepanyol, Juanan terus menambah derita JDT menerusi jaringan ketiga pada minit ke-76 sekali gus menutup ruang untuk kebangkita­n JDT yang terpaksa akur apabila hanya mampu mara ke saingan separuh akhir Piala AFC untuk musim ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia