Berita Harian

Lelaki bersenjata pisau ceroboh TABIKA

Suspek rompak barang kemas bernilai RM2,500 milik guru

- Oleh Amin Ridzuan Ishak

Semalam, sepatutnya menjadi kenangan manis buat beberapa murid di Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) Perpaduan di Bukit Sekilau, dekat sini, kerana menyambut hari lahir secara bersama.

Bagaimanap­un, ia bertukar menjadi mimpi ngeri apabila bangunan prasekolah berkenaan diceroboh seorang lelaki bersenjata­kan pisau pemotong, yang bertindak menceroboh premis itu sebelum merompak barang kemas milik guru bernilai RM2,500.

Difahamkan, sebelum kejadian pada jam 8.15 pagi itu, dua guru, 25 murid serta ibu bapa berada dalam premis berkenaan dan sedang melakukan persiapan bagi sambutan hari lahir murid yang meraikanny­a untuk Oktober.

Saksi kejadian dikenali sebagai Halimah, 41, yang tinggal berhampira­n, berkata dia terdengar bunyi bising daripada TABIKA berkenaan sebelum ternampak seorang lelaki yang memakai topi keledar keluar secara tergesa-gesa dan melarikan diri menggunaka­n motosikal.

Keadaan kelam-kabut

“Pada mulanya saya tidak tahu apa yang terjadi dan hanya lihat keadaan kelam-kabut sebelum beberapa ibu bapa memaklumka­n barang kemas dipakai guru disamun.

“Kejadian berlaku kurang daripada 10 minit sebelum lelaki itu melarikan diri menggunaka­n motosikal diletakkan di hadapan sekolah,” katanya di sini, semalam.

Seorang lagi saksi, Rosli Kamal, 32, yang menghantar anaknya ke TABIKA berkenaan hairan kerana keadaannya senyap berbanding hari biasa namun tidak mengesyaki sesuatu.

“Saya hairan kerana tiba-tiba ada seorang lelaki berlari keluar daripada pintu dengan keadaan tergesa-gesa. Saya beri salam dan terkejut kerana semua murid dilihat berkumpul di satu sudut dalam keadaan ketakutan.

“Kemudian saya masuk dan pergi ke tandas untuk mengeluark­an dua guru yang dikunci dalam tandas,” katanya.

Sementara itu, usaha BH untuk menemubual guru, murid dan ibu bapa yang berada di lokasi kejadian gagal apabila mereka enggan ditemui media yang berkumpul di hadapan sekolah berkenaan.

Difahamkan, dua guru yang disamun itu diarahkan ke tandas sekolah berkenaan supaya menanggalk­an barang kemas sambil diacu dengan pisau oleh suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi mengesahka­n kejadian dan berkata, suspek berusia dalam lingkungan 20an berdasarka­n keterangan saksi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia