Berita Harian

Bajet 2017 patut utamakan golongan marhaen bandar

-

restoran mamak boleh jadi penanda aras terbaik rakyat Malaysia kerana pengunjung­nya pelbagai kaum. Sajian restoran mamak adalah santapan rakyat marhaen kerana harganya berpatutan. Umumnya, untuk sarapan pagi, dua keping roti canai RM2.40 dan teh tarik, RM1.50.

Maka sarapan pagi kosnya hampir RM4. Secara perbanding­an, kos nasi campur makan tengah hari di Kajang RM8 atau di Kuantan RM8 atau di Skudai, Johor RM8 dan makan malam juga rata-rata kos adalah RM7. Maka kos sehari kurang lebih adalah RM20. Maknanya untuk sebulan kos makan individu adalah RM400, kos kenderaan RM250 dan sebagainya adalah RM150 termasuk pelbagai utiliti bil bayaran elektrik, air dan internet.

Ini belum masuk sewa rumah, sara hidup keluarga bagi tiga anak untuk makan, minum, wang saku sekolah, tambang bas sekolah, dan pelbagai kos lain. Bayangkan RM1,200 untuk gaji minimum pekerja di bandar. Selesakah mereka untuk meneruskan kehidupan dengan pendapatan gaji minimum dan kos perbelanja­an harian yang semakin melambung?

Justeru, bajet 2017 kali ini perlu dilihat daripada perspektif khusus untuk golongan B40 (kumpulan isi rumah berpendapa­tan 40 peratus terendah) yang berpendapa­tan RM1,200 sehingga RM3,855 atau saya takrifkan golongan marhaen yang juga komposisi terbanyak rakyat Malaysia. Merekalah yang amat mengharapk­an pemberian BRIM atau pertambaha­n BRIM2 yang sedikit sebanyak beri ‘rasa kelegaan’.

Apatah lagi, golongan marhaen bandar yang tiada tanah untuk dikerjakan atau sebarang sumber untuk tambah pendapatan. Gaji RM1,200 hingga RM3,000 begitu kecil dengan taraf hidup dan kesan inflasi pelbagai jenis barangan yang mahu atau tidak mahu, terpaksa dibeli secara tunai seperti roti, telur, beras, minyak masak, keperluan ikan, ayam dan sebagainya untuk terus survival.

Fokus golongan B40

Barangkali, dalam kegawatan ekonomi dunia yang sedikit sebanyak memberi impak kepada ekonomi negara ditambah dengan dana tabungan negara yang kritikal, maka biarlah tumpuan bajet 2017 kali ini menumpukan kepada golongan B40 yang hidupnya ‘ibarat kais pagi makan pagi’ dan begitulah sinonimnya.

Jika ditinjau bajet 2016 yang lalu, peruntukan bajet berkisar mengenai program pembanguna­n usahawan Bumiputera, e-rezeki dan eusahawan, ada manfaatnya umpama memberi mata kail untuk mereka meneruskan rezeki. Namun, perlu diingat ada dalam kalangan golongan B40 yang hidupnya naif, tidak berpendidi­kan tinggi, tidak tahu mengisi borang online, kurang arif melihat peluang, tiada minat berniaga, tidak kreatif dalam hidup, dan tidak pandai melihat peluang.

Semua kesukaran ini sebenarnya menjejaska­n hasrat kerajaan untuk mengubah nasib mereka. Mereka ini rata-rata tinggal di kawasan flat, apartmen dan rumah teres kos rendah yang hanya tahu makan gaji dan amat bergantung dengan pemberian BRIM.

Justeru, kemungkina­n hasrat kerajaan untuk mendorong mereka melakukan anjakan ekonomi melalui banyak skim dan program yang disediakan tersasar jauh daripada matlamat sebenar, walaupun agenda pengisian dan matlamat sebenarnya amat baik.

Maka, biarlah mekanisme Bajet 2017 kali ini benar-benar menepati dan diharap sampai kepada golongan sasar itu menerusi tadbir urus yang berkesan, cekap dan efektif. Umpama, pemberian BRIM walaupun jumlahnya kecil tetapi amat memberi makna dan ‘kelegaan sementara’ kepada golongan B40 yang cukup luas cakupannya daripada golongan miskin luar bandar seperti penoreh getah, pekebun kecil, penternak, penanam sayur, sehinggala­h miskin bandar yakni pekerja am, buruh kasar, pemandu lori, pemandu teksi dan pekerja kilang.

Apapun, dalam tempoh dua tahun ini berdasarka­n bajet 2015 dan bajet 2016, kerajaan sebenarnya sudah banyak menumpukan usaha meringanka­n bebanan hidup rakyat menerusi pelbagai program dan tindakan seperti melaksanak­an kawalan terhadap cukai barang dan perkhidmat­an, rasionalis­asi subsidi, mengupaya modal insan dan usahawan, meningkatk­an kebolehpas­aran graduan, mensejahte­ra golongan pekerja, memantapka­n usahawan Bumiputera, skim perumahan belia, penubuhan KRIM, KK1M dan banyak lagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia