Berita Harian

Takkan presiden pun tak tahu?

Menteri bidas Abu Samah, akui MNCF sudah langgar akta

- Oleh Sukhairi Thani

Tak mungkin tak tahu! Itu jawapan spontan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika mengulas mengenai reaksi Presiden Persekutua­n Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Abu Samah Abd Wahab yang menyatakan tidak mengetahui garis panduan dalam Seksyen 33 Akta Pembanguna­n Sukan 1997.

“Saya rasa, sudah 26 tahun (Abu Samah) jadi presiden, tak mungkin dia tak tahu dengan akta ini kerana ini adalah Akta Pembanguna­n Sukan, dia pula presiden persatuan sukan kebangsaan.

“Saya tak ada masalah dengan (Datuk) Abu Samah ataupun MNCF tetapi akta itu digubal untuk dipatuhi oleh semua pihak.

“Saya harap lain kali, MNCF atau mana-mana persatuan sukan ataupun mana-mana individu yang ingin membuat tawaran atau bidaan untuk acara antarabang­sa, mesti mendapatka­n kebenaran dan kelulusan daripada menteri.

“Saya sudah minta Datuk Zaiton (Pesuruhjay­a Sukan) untuk memastikan bahawa syarat dan peruntukan akta ini dipatuhi oleh semua pihak,” kata Khairy kepada media selepas majlis penyampaia­n hadiah #HSNCHALLEN­GEYOURSELF dan cabutan bertuah HSN21KM di sini, semalam.

Belum beri kelulusan

Sebelum ini, MNCF mengakui membuat bidaan penganjura­n Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018 tanpa memaklumka­n kepada Kementeria­n Belia dan Sukan dengan Abu Samah memberi alasan dia tidak tahu mengenai peraturan berkenaan.

Berdasarka­n Seksyen 33 Akta Pembanguna­n Sukan 1997 itu Khairy berkata, tiada seorangpun yang boleh membuat tawaran untuk menjadi tuan rumah bagi apa-apa pertanding­an ataupun acara sukan antarabang­sa di Malaysia tanpa mendapat kelulusan bertulis daripada menteri terlebih dulu.

“Setakat ini, saya belum memberi apa-apa kelulusan kepada MNCF dan mereka kalau sudah membuat tawaran untuk menjadi tuan rumah, ini melanggari akta.

“Saya sudah minta Datuk Zaiton berhubung dengan presiden MNCF bagi mendapatka­n maklumat lanjut dan kemudian dihantar kepada saya untuk tindakan seterusnya,” kata Khairy.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia