Berita Harian

Tuah Ramdan hadir lagi di Litar Sepang

- - Oleh Sukhairi Thani

Kuala Lumpur: Pelumba PETRONAS AHM Malaysia, Ramdan Rosli akan beraksi di Grand Prix (GP) Malaysia tahun ini menerusi tiket wild card untuk kali kedua dalam kelas Moto2, minggu depan.

Ramdan yang beraksi dalam Kejuaraan CEV Repsol itu sudah membuat dua penampilan sebelum ini di Litar Antarabang­sa Sepang (SIC), kali pertamanya dalam kelas Moto3 pada tahun 2014.

Ketika itu, dia tidak menamatkan perlumbaan dan pada tahun seterusnya Ramdan diberi peluang beraksi dalam kelas Moto2 di mana menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-24.

Tahun ini, pelumba berusia 20 tahun itu sudah pun beraksi atas tiket wild card di GP Catalunya di mana dia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-19, Jun lalu.

Ramdan juga akan menyertai GP Australia bermula hari ini sebelum berangkat pulang ke tanah air untuk bersiap sedia menghadapi pusingan ke-17 Kejuaraan Motosikal Dunia di Sepang.

Belajar lebih cepat

“Saya dimaklumka­n mengenai perkara ini (wild card) pada minggu lalu,” kata Ramdan kepada BH Sukan semalam.

“Untuk tiket wild card di Sepang ini, sudah pasti menjadi satu hujung minggu yang mengujakan kerana dapat beraksi di halaman sendiri.

“Sudah pasti juga, saingan kali ini sangat kuat dari pasukan yang besar serta pelumba terhebat yang berada dalam kejuaraan Moto2 ini.”

Dalam saingan CEV Repsol, Ramdan kini berada di kedudukan ke-15 dengan 36 mata keseluruha­n tatkala musim 2016 hanya berbaki satu perlumbaan saja lagi iaitu di Valencia, 20 November ini.

Mengulas mengenai jenteranya yang bakal digunakan di Sepang, Ramdan berkata: “Saya akan menggunaka­n jentera sama di CEV.

“Keserasian antara jentera dan saya boleh dikatakan agak bagus cuma saya perlu belajar dengan lebih cepat untuk pantas meningkat dari semasa ke semasa.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia