Berita Harian

Tetap pencapaian terbaik: TMJ

- Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor

Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tetap berbangga dengan pencapaian pasukan itu walaupun tersingkir di separuh akhir Piala AFC selepas tewas 1-3 kepada Bengaluru FC, kelmarin.

Kekalahan itu menyaksika­n kelab dari India itu mara ke final dengan agregat 4-2 selepas terikat 1-1 pada aksi pertama di Larkin manakala JDT pula terlepas peluang untuk mempertaha­nkan kejuaraan yang raih musim lalu.

“Bagi saya, keputusan (tewas 1-3) yang tidak begitu memuaskan tapi saya mengucapka­n tahniah dan syabas kepada semua pemain JDT, pengurusan dan penyokong.

“Untuk berjaya sampai ke separuh akhir dua tahun berturut-turut sebagai pasukan pertama dari Malaysia adalah amat berharga dan pencapaian paling baik.

“Saya tidak peduli apa orang lain cakap, kami adalah pasukan paling berjaya di dalam dan luar padang. Satu negara kenal kami, orang luar kenal kami dan orang luar memberi pengiktira­fan pada kami,” kata Tunku Ismail dalam satu video yang dimuat naik di Facebook JOHOR Southern Tigers, semalam.

Tunku Aminah senada

Sementara itu Presiden Kelab Bola Sepak JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim turut senada dengan Tunku Ismail dan berharap pasukan itu dapat menebus kekecewaan pada musim akan datang.

“Semoga pada tahun hadapan, JDT akan berada di peringkat yang sama dan saya berharap agar JDT sekali lagi melepasi peringkat suku akhir Piala AFC.

“Tidak lupa juga bahawa JDT adalah satu-satunya pasukan dalam Malaysia yang berjaya berada di peringkat separuh akhir dalam pertanding­an yang berprestij ini.

“Oleh itu walaupun tewas, saya mengucapka­n tahniah kepada para pemain, jurulatih dan pegawai yang sudah memberikan segala-galanya untuk JDT,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia