Berita Harian

Naza Quest yakin jual 2,200 Chevrolet 2017

Trak pikap baharu, Colorado bantu capai sasaran lebih tinggi

- Oleh Mohd Zaky Zainuddin

Naza Quest Sdn Bhd, pengimport dan pengedar kenderaan Chevrolet di Malaysia menyasar menjual 2,200 unit kereta jenama itu di Malaysia tahun depan.

Naib Presidenny­a, Mohd Farid Rosli, berkata sasaran lebih tinggi berbanding unjuran tahun ini sebanyak 1,000 unit itu bakal dipacu pengenalan model trak pikap baharunya, Colorado.

“Pengenalan Colorado akan memberi sumbangan sangat penting kepada pertumbuha­n jualan Chevrolet di Malaysia tahun depan. Sebab itu kita yakin untuk mencapai sasaran 2,200 unit bagi 2017.

“Kita jangkakan Colorado menyumbang 1,300 unit atau 60 peratus daripada jualan keseluruha­n Chevrolet tahun depan,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Chevrolet Colorado, di Kuala Lumpur, semalam.

Perasmian disempurna­kan oleh Pengarah Pengedaran dan Operasi Asia Tenggara General Motors Internatio­nal, Gary Player.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Bersama Naza Group of Companies, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin.

Setakat sembilan bulan pertama tahun ini, Naza Quest sudah menjual 850 model Chevrolet.

Turut pasarkan model lain

Syarikat itu yang turut memasarkan model lain seperti Cruze, Orlando, Sonic dan Malibu menjual 952 unit Chevrolet tahun lalu.

Sejak Naza Quest mengambila­lih jenama itu pada 2010, ia sudah menjual kirakira 9,000 unit di pasaran Malaysia.

Bagi memastikan jenama Chevrolet terus kukuh di Malaysia, Mohd Farid berkata, Naza Quest akan memperluas­kan pusat pengedaran kepada 30 cawangan tahun depan, dari 25 cawangan tahun ini.

“Kami sedang mengenal pasti beberapa lokasi strategik antaranya di Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak untuk cawangan baharu pusat edaran Chevrolet,” katanya.

Sementara itu, Colorado baharu yang mendapat jolokan sebagai trak Chevrolet Amerika terhebat, ditawarkan pada harga jualan bermula RM90,188 seunit.

Lebih menarik, Colorado versi terkini hadir dengan rekaan dalaman dan luaran baharu, menambahka­n gayanya yang turut diterapkan dengan prestasi terbaik, keselamata­n jitu, lebih keselesaan dan menerajui teknologi dalam segmennya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia