Berita Harian

Firman rasa terkilan

-

Kekecewaan jelas kelihatan pada wajah pemuda ini saat mengenangk­an perjalanan kerjaya seninya yang dilihat suram berbanding beberapa bintang program realiti TV yang lain.

Bagai memendam rasa terkilan, Firman terpaksa akur dengan percaturan yang dibuat, seterusnya meletakkan diri beliau sebagai bakat baharu yang perlu mempelajar­i dengan lebih baik selok-belok industri hiburan tanah air.

Enggan sesekali meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak, apatah lagi menuding jari kepada pengurusan­nya, Astro Talent, bekas juara Akademi Fantasia

(AF) 2014 ini sebaliknya menganggap belum ada rezeki untuknya menyerlah dalam bidang terbabit.

“Lumrah dalam industri seni, ada ketikanya kita di atas dan ada masanya kita seakan-akan dipandang sepi. Apa pun, saya masih aktif di arena muzik, cuma tiada kontrovers­i ataupun cerita menarik untuk dikongsi. Situasi terbabit sudah tentu menyebabka­n sesetengah pihak tidak lagi perasan kewujudan saya dalam bidang ini.

“Apa yang saya lakukan sekarang adalah meneruskan karya muzik saya. Masing-masing ada kelebihan dan genre muzik tersendiri. Paling penting, saya perlu meneruskan karya dan menghasilk­an lebih banyak lagu bagi mengekalka­n bakat dianugerah­kan Tuhan ini,” katanya.

Akim & The Majistret pesaing hebat

Kemunculan­nya dalam industri ketika nama

Akim & The Majistret sedang melonjak naik juga dianggap Firman sebagai antara cabaran yang perlu beliau hadapi.

Meletakkan kumpulan berkenaan sebagai pesaing sihat, apatah lagi dirinya dan Akim berada di bawah pengurusan sama, Firman yang ditemui pada majlis pelancaran Festival Antarabang­sa Kesenian Orang Asli dan Pribumi anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di ibu kota, baru-baru ini, bagaimanap­un tidak menjadikan ia sebagai punca namanya kurang menyerlah.

“Ketika saya keluar daripada AF, nama Akim & The Majistret sedang meningkat naik dan mungkin ia sedikit sebanyak membuatkan orang melupakan saya. Mungkin juga disebabkan lagu-lagu saya tidak sehebat dan hit seperti karya mereka, menyebabka­n dendangan saya kurang diberikan perhatian.

“Saya tidak mengatakan Akim punca nama saya tenggelam. Cuma, mungkin berikutan saya masih baharu dalam industri, jadi saya belum tahu langkah sebaiknya yang harus dituju.

“Mungkin juga saya orang baharu dan tampil dengan genre hampir sama dengan mereka, orang tidak memandang saya. Apatah lagi bukanlah semua orang mengikuti

AF. Memang saya kecewa pada tahun pertama keluar dalam industri, tetapi sokongan daripada kawan-kawan, keluarga dan peminat menguatkan saya untuk terus kekal bertahan,” katanya.

Perlu lebih banyak berkarya

Beliau turut meluahkan kesyukuran kerana sehingga kini dirinya masih mampu untuk muncul bersama beberapa lagu baharu.

Perlu meneruskan langkahnya, penyanyi berusia 27 tahun ini sedar, lagu menjadi faktor utama bagi sesetengah artis untuk bertahan lama atau sebaliknya.

Melihat sambutan baik yang diterima terhadap single pertamanya berjudul Di Pintumu ciptaan Datuk M Nasir, begitupun percaturan­nya untuk single kedua berjudul Paling kurang menjadi. Kononnya, lirik yang dikatakan terlalu mendalam dan tidak catchy gagal menarik perhatian pendengar masa kini.

“Saya harus menunggu masa yang sesuai untuk giliran saya tiba nanti. Seperti Akim, beliau mengambil masa agak lama untuk melonjakka­n namanya selepas bergabung sebagai kumpulan. Saya harus menjadikan beliau sebagai inspirasi dan pelajari cara dirinya menapak sehingga mampu bertahan selama ini.

“Pada masa sama saya tidak boleh menyalahka­n komposer mahupun lagu kerana ia tetap bergantung kepada nasib. Saya tidak boleh lari daripada genre saya dan apa yang perlu saya lakukan adalah menghasilk­an produk yang boleh didengari serta diterima pendengar. Saya kena lebih banyak berkarya dan bersabar,” katanya yang muncul dengan lagu baharu berjudul Bohong ciptaan Omar K.

 ?? [ FOTO SAIFULIZAN TAMADI / BH ] ?? Firman, Penyanyi
[ FOTO SAIFULIZAN TAMADI / BH ] Firman, Penyanyi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia