Berita Harian

Gangguan ular air

Trauma sehingga terbawa ke dalam mimpi

-

Secara tiba-tiba Yahya Harun melompat ke atas kerusi sambil menjerit beberapa kali dan menunjukka­n ular yang muncul di hadapannya.

“Ular!, ular!, ular!.

Lari, cepat,” jeritnya. Penulis yang duduk di meja bersebelah­an Yahya atau mesra dengan panggilan Pak Ya, terpinga-pinga dengan tingkah lakunya.

Pak Ya kelihatan menggelaba­h, melihat ke kiri dan kanan di sekitar meja yang terdapat komputer riba miliknya.

“Eh! Apa cerita ni, Pak Ya? Mana ada ular? Takkan terlelap sekejap, Pak Ya boleh mengigau. Masih siang lagi ni, baru jam 4.15 petang,” kata penulis.

Alasan lama tak memancing

Pak Ya, ialah rakan sekerja yang dikenali sejak tahun 2003 namun berlainan unit.

“Patutlah Pak Ya tak nampak di surau waktu solat Asar, tadi. Pak Ya, tak sihat kah? Kalau Pak Ya sakit, pergi klinik,” tambah penulis lagi.

Pak Ya hanya tersenyum dan menggeleng kepala penulis. Dia mengajak ke kafe untuk minum petang.

Penulis memesan teh tarik, manakala Pak Ya minta teh o gelas besar. Sambil menghirup teh tarik, penulis memulakan cerita, memberitah­u hajatnya mengajak Pak Ya memancing di kolam pancing ikan air tawar di Hulu Langat, Selangor pada hujung minggu itu.

Pak Ya mengangguk­kan kepala sambil senyum.

“Minta maaflah, saya tidak ada peralatan memancing. Lagi pun sudah lama tak memancing. Kau ajaklah orang lain, yang selalu memancing,” katanya.

Penulis memberitah­u

Pak Ya yang trip itu hanya untuk santai dan berehat kerana sambil memancing, boleh makan buah-buahan seperti rambutan, pulasan, langsat dan manggis.

“Dulu semasa di sekolah rendah, setiap hujung minggu, apa lagi waktu musim cuti sekolah, Pak ya akan ke bendang, memancing di tali air. Biasanya dapat ikan haruan, keli dan sepat.

Gagau haruan, keli, sepat di bendang

“Pak ya, selalu juga ikut kawan menyeluk lubang, rumah ikan haruan di tepi parit atau tali air. Seronok menarik kerana dapat genggam kepala ikan haruan atau keli.

“Pernah beberapa kali tangan ini kena sengat keli ketika menyeluk lubang keli, bisa beb! Boleh demam tiga hari selepas itu, tapi tak pernah serik, terus menyeluk lubang kalau ada peluang,” jelas Pak Ya, sambil makan pisang goreng.

Pak Ya berasal dari Kedah terus bercerita kisah lamanya mengenai dunia memancing dan menyeluk lubang ikan dalam loghat Utara.

Seperti biasa, suatu pagi, waktu cuti sekolah, beliau memancing.

Tengok ada ikan keli, haruan, puyu dan tilapia dalam tali air itu tapi semua ikan tak mahu sentuh umpan.

Ular belit lengan

“Geram sangat pasal apa tak makan umpan, kami terjun dalam tali air itu untuk mencari lubang haruan atau keli. Seluk pertama berjaya memperoleh seekor haruan yang bersaiz lengan seorang bayi, kemudian seekor lagi ikan haruan.

“Selepas 40 minit kami dapat 30 haruan dan 10 keli dan semakin seronok. Cakap dengan seorang kawan, ini lubang terakhir, lepas ini kita balik,” cerita Pak Ya

Kata Pak Ya, dalam lubang terakhir yang diseluknya itu, dia tersenyum kerana dapat menyentuh sesuatu yang diyakininy­a adalah haruan.

Seperti biasa badan penghuni lubang itu terasa licin dan tidak ada sengat. Sah ikan haruan tapi agak panjang. Apabila di tarik keluar, bukannya haruan, tapi ular air.

Ekor ular itu pula membelit lengan. Masa itulah, mungkin terkejut sangat, Pak ya menjerit, ulaq (ular), ulaq...

Lari lintang-pukang

“Kami lari lintang-pukang. Ular yang terpegang dan membelit lengan tadi, terpelanti­ng ke tengah jalan,” katanya.

“Sepanjang bulan tu, setiap kali tidur, Pak Ya selalu nampak ular bukan sahaja di dalam rumah malah di atas katil. Sering kali ketika tidur,

Pak Ya juga menjerit-jerit kerana dibelit ular.

“Setiap kali Pak Ya terfikir atau teringat mengenai ular, terutama di luar rumah, biasa Pak Ya akan bertembung dengan binatang itu.

“Sehingga kini, saya takut untuk masuk ke kawasan semak,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia