Berita Harian

19 jurutera, juruteknik air daerah di Sabah ditahan

Akaun bank simpanan RM3.6 juta milik suspek turut dibeku

- Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

Sebahagian daripada 19 suspek yang ditahan dalam ‘Op Water’ disyaki salah guna kuasa agihan projek RM3.3 bilion di Sabah dibawa ke mahkamah untuk direman, semalam. Seramai 14 suspek diperintah reman 7 hari oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, tiga lagi individu dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau untuk tahanan reman 4 hari dan seorang dikenakan tahanan reman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Sandakan, manakala seorang lagi diarah reman 4 hari oleh Mahkamah Majistret Lahad Datu.

Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai berjumlah RM4.2 juta selepas menahan 19 ketua bahagian dan daerah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi membantu siasatan berhubung penyelewen­gan dana infrastruk­tur jabatan itu.

Akaun bank yang mempunyai simpanan kira-kira RM3.6 juta milik beberapa suspek turut dibekukan.

Operasi besar-besaran menerusi fasa kedua siasatan ‘Op Water’ itu susulan penahanan pengarah dan timbalan pengarah jabatan terbabit bersama tiga lagi suspek sejak awal bulan ini yang disiasat berhubung kes salah guna kuasa agihan projek bernilai RM3.3 bilion.

Timbalan Ketua Pesuruhjay­a SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki, berkata semua suspek berusia 29 hingga 59 tahun ditahan di beberapa lokasi kelmarin.

Maklumat tambahan

Katanya, operasi dilancarka­n berikutan penemuan maklumat tambahan dan bukti diperoleh hasil keterangan lima suspek sebelum ini, selain analisis terhadap dokumen yang dirampas.

“Siasatan awal mendapati ketua bahagian dan daerah ini membuat kutipan antara 27 hingga 30 peratus jumlah nilai projek JANS daripada kontraktor yang ditawarkan kerja sebut harga dan kerja kecemasan jabatan itu di seluruh Sabah,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Azam berkata, siasatan kes itu hanya menjurus kepada pembabitan pegawai kerajaan yang menerima rasuah serta penyalahgu­naan kuasa dan setakat ini ia tidak membabitka­n mana-mana ahli politik peringkat negeri atau Persekutua­n.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak tidak mempolitik­kan atau mengambil kesempatan terhadap siasatan yang sedang dijalankan bagi kepentinga­n masing-masing.

“Kes ini membabitka­n dokumen perolehan yang banyak dan pegawai SPRM giat membuat penelitian yang memerlukan masa sebelum kertas siasatan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutny­a.

“SPRM memandang serius perkara ini dan memberi jaminan siasatan dijalankan dengan telus dan profesiona­l tanpa campur tangan mana-mana pihak,” katanya sambil meminta masyarakat tidak membuat spekulasi kerana boleh menjejaska­n siasatan.

 ?? FOTO IHSAN SPRM ??
FOTO IHSAN SPRM

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia