Bajet rangka aspirasi menuju status maju
Ambil kira keperluan seimbang ke arah pertumbuhan ekonomi
Bajet 2017 menawarkan campuran optimum rangsangan, insentif dan perlindungan yang diperlukan untuk mengemudi cabaran tahun mendatang, kata Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Mohd Najib Abdullah.
Katanya, bajet itu dirangka dengan baik dengan mengambil kira keperluan untuk menyeimbangkan antara aspirasi negara bagi mencapai status negara maju dan komitmen Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKE-11) ke arah pertumbuhan ekonomi berlandaskan prinsip keterangkuman, ekuiti, kesejahteraan dan kelestarian.
“Kumpulan MIDF berpendapat unjuran pertumbuhan 4.0 - 5.0 peratus pada 2017 boleh dicapai di tengah-tengah cabaran antaranya permintaan global yang lemah, landskap monetari antarabangsa yang tidak menentu, pertumbuhan perlahan ekonomi China dan tekanan harga komoditi,” katanya, sambil mengalualukan komitmen kerajaan untuk mengurangkan defisit kepada 3.0 peratus tahun depan.
Menyokong pertumbuhan
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah fiskal yang diumumkan dalam Bajet 2017 kekal menyokong pertumbuhan dan mencerminkan komitmen jitu kerajaan untuk terus mengurangkan kedudukan defisit kepada 3.0 peratus pada 2017.
Katanya, Bajet 2017 masih mengekalkan fokus kepada golongan berpendapatan 40 peratus paling bawah (B40) seperti kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mana seharusnya membantu pertumbuhan penggunaan swasta.
“Langkah menggalakkan penerima BR1M untuk menjadi pemandu perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti pemandu Uber adalah sesuatu yang amat digalakkan. Ia bagi memastikan penerima BR1M dapat mempelbagaikan sumber pendapatan mereka,” katanya.
→ Lihat Ms.40