Berita Harian

Pasaran modal sumber utama raih dana korporat

Peningkata­n dicermin melalui terbitan baharu

-

Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2016, pasaran modal kekal sebagai sumber utama pemeroleha­n dana korporat. Dana kasar yang diperoleh melalui pasaran modal meningkat 3.9 peratus kepada RM110.9 bilion sepanjang tempoh berkenaan, dipacu aktiviti pemeroleha­n dana yang lebih tinggi dalam sektor swasta dengan peningkata­n semula yang ketara sebanyak 20.8 peratus kepada RM53.2 bilion.

Peningkata­n ini dicerminka­n melalui terbitan baharu yang lebih tinggi daripada nota jangka pertengaha­n yang bertambah 39.3 peratus kepada RM40.7 bilion.

Sebahagian besar dana diperoleh dalam sektor kewangan, insurans, harta tanah dan perkhidmat­an perniagaan menyumbang 51.3 peratus daripada penerbitan bon korporat yang baharu.

Sebahagian besar dana itu digunakan untuk membiayai projek infrastruk­tur, modal kerja dan aktiviti perniagaan am.

Sekuriti patuh Syariah

Sekuriti patuh Syariah merangkumi 59 peratus daripada jumlah terbitan Sekuriti Hutang Swasta (PDS) yang mencermink­an permintaan berterusan ke atas terbitan berlandask­an Islam dalam pasaran modal hutang domestik.

Dana kasar yang diperoleh dalam sektor awam menguncup lapan peratus kepada RM57.7 bilion dalam tempoh Januari hingga Julai 2016 disebabkan pinjaman lebih rendah oleh kerajaan.

Bagaimanap­un, dana yang diperoleh menerusi terbitan Sekuriti Hutang Kerajaan (MGS) meningkat 10 peratus kepada RM30.9 bilion. Sementara itu, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) berkurang 1.3 peratus kepada RM26.8 bilion.

Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2016, jumlah dana bersih yang diperoleh melalui pasaran modal berkurang 5.2 peratus kepada RM58.2 bilion.

Selepas mengambil kira penebusan, penjanaan dana bersih bagi sektor swasta berjumlah RM24.9 bilion, manakala penjanaan dana bersih bagi sektor awam pula mencatat RM33.3 bilion. Sektor awam menyumbang 57.2 peratus daripada jumlah dana diperoleh dalam pasaran modal.

Pasaran ekuiti domestik turun

Sementara itu, pasaran ekuiti domestik mencatat penurunan dua angka sebanyak 34.8 peratus kepada RM6.2 bilion, seiring dengan ketidakten­tuan pasaran kewangan global.

Kemerosota­n dana yang dijana dalam pasaran ekuiti adalah disebabkan kekurangan tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 88.1 peratus kepada RM400 juta.

Pasaran ekuiti kekal lemah dalam tempoh tujuh bulan pertama 2016. Bermula awal tahun hingga akhir Julai 2016, Indeks Komposit Kuala Lumpur Financial Times Stock Exchange (FTSE) Bursa Malaysia (FBM KLCI) berkurang 39.25 mata atau 2.3 peratus kepada 1,653.26 mata.

Pasaran derivatif mencatat pertumbuha­n dagangan sebanyak 6.5 peratus kepada 8.3 juta kontrak dalam tempoh tujuh bulan pertama 2016 berbanding tempoh yang sama pada 2015.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia