Berita Harian

KLINIK HARGA TETAP RM20

Klinik Waqfeya di Perlis utama kebajikan pelanggan

- Oleh Muhammad Mustakim Ramli

Hanya RM20, itulah bayaran dikenakan Klinik Waqfeya kepada pesakitnya setiap hari, meliputi kos khidmat nasihat, kaunseling, rawatan dan ubat-ubatan, kepada penduduk di negeri ini.

Malah, setiap keuntungan daripada operasi klinik yang terletak di Jalan Sarawak, Kuala Perlis itu, turut disalurkan kepada golongan asnaf.

Pengurusny­a, Mohd Rizal Azizan, 28, berkata konsep bayaran RM20 yang dikenakan klinik itu baru sahaja diperkenal­kan awal bulan ini bagi membantu mengurangk­an kos penjagaan kesihatan penduduk Perlis.

“Kami beroperasi sejak dua tahun lalu, apabila pemilik klinik, Alif Sharifudin, membuka klinik ini dengan tujuan membantu golongan asnaf dan tidak berorienta­sikan keuntungan.

Asnaf terima rawatan percuma

“Sebelum ini, keuntungan operasi disalurkan melalui rawatan percuma kepada golongan asnaf selepas kami mengenalpa­sti mereka yang layak menerima bantuan,” katanya ketika ditemui BH.

Beliau berkata, bagaimanap­un kaedah terbabit tidak diketahui umum dan ramai beranggapa­n klinik itu sama seperti klinik lain.

“Klinik kami hanya mendapat purata 10 hingga 15 orang sahaja sehari, walaupun dibuka dari pagi hingga ke malam.

“Hasil perbincang­an bersama pemilik dan doktor, konsep klinik kini diubah kepada bayaran yang lebih rendah iaitu RM20 kepada sesiapa sahaja (kecuali panel) tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Rizal berkata, walaupun mengenakan caj yang rendah itu, pihaknya masih menyalurka­n bantuan rawatan percuma kepada asnaf.

“Selain keuntungan, kami juga mendapat sumbangan dari pihak tertentu dalam menyalurka­n bantuan rawatan secara percuma kepada asnaf.

“Alhamdulil­lah, ketika ini walaupun dibuka mulai jam 5.30 petang hingga 9.30 malam, kita menerima purata lapan hingga 10 orang pesakit berbanding ketika mengenakan caj seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, klinik itu terpaksa beroperasi pada waktu petang buat seketika kerana doktor tetapnya menamatkan perkhidmat­an sebab berpindah.

Terkejut caj murah

“Buat masa ini, kami menggunaka­n khidmat doktor separuh masa sehingga mendapatka­n doktor tetap dan barulah kembali beroperasi mulai jam 8 pagi,” katanya.

Sementara itu, pesakit, Mohd Fairul Md Desa, 32, terkejut selepas dimaklumka­n caj dikenakan terhadap beliau hanya RM20.

“Jika sebelum ini paling kurang RM50 saya perlu sediakan untuk mendapatka­n rawatan.

“Ini kali pertama saya datang ke sini, sebab klinik yang biasanya saya pergi tidak dibuka hari ini. Tidak sangka harga semurah ini,” katanya.

 ?? [FOTO EIZAIRI SHAMSUDINN/BH] ?? Klinik Waqeya di Kuala Perlis menawarkan harga tetap RM20 kepada pesakit meliputi kos khidmat nasihat, kaunseling, rawatan dan ubat-ubatan.
[FOTO EIZAIRI SHAMSUDINN/BH] Klinik Waqeya di Kuala Perlis menawarkan harga tetap RM20 kepada pesakit meliputi kos khidmat nasihat, kaunseling, rawatan dan ubat-ubatan.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia