Berita Harian

Melayu, Bumiputera kekal teras penyatuan bangsa: Najib

Agenda Transforma­si Nasional 2050 tetap ambil kira kepentinga­n semua kaum

- Oleh Rafidah Mat Ruzki

Melayu dan Bumiputera kekal menjadi prinsip penting kepada penyatuan rakyat di Malaysia walaupun agenda Transforma­si Nasional 2050 (TN50) akan mengambil kira kepentinga­n semua kaum di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata apabila mahu memajukan negara, semua kaum perlu dimajukan dan yang diutamakan adalah tidak membiarkan masyarakat Melayu dan Bumiputera ketinggala­n dalam kemajuan.

Justeru, beliau berkata, keindukan yang berteraska­n Melayu dan Bumiputera menjadi prinsip penting kepada penyatuan bangsa di negara ini kerana kedua-dua asas itu, iaitu Melayu dan Bumiputera adalah perkara utama terkandung dalam Perlembaga­an Persekutua­n.

Prinsip penting Perlembaga­an

“Kalau kita nak melihat ke hadapan, kita harus melihat dari mana kita datang. Bila kita singkap sejarah, tamadun kita, asal usul kita diterjemah­kan dalam Perlembaga­an Persekutua­n yang jika kita perhalusi, mengandung­i beberapa prinsip yang penting.

“Antara yang penting adalah keindukan negara kita yang berteraska­n Melayu dan Bumiputera. Dalam Perlembaga­an Persekutua­n, bahasa rasmi, bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan, itu keindukan, tapi bahasa lain dibenar ditutur dengan bebas. Islam agama rasmi, tapi agama lain dibenar diamal dengan bebas.

“Ketua negara kita ialah Yang dipertuan Agong yang dipilih dalam kalangan sembilan raja Melayu. Kalau terima prinsip ini, mudah kita ke hadapan,” katanya berucap merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016 di Universiti Teknologi MARA (UITM), di sini semalam.

Konvokesye­n dianjurkan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media serta Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) UITM. Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Joseph Kurup dan Naib Canselor UITM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Najib yang juga penaung konvokesye­n bertemakan 'Menyingkap Perjuangan Bangsa' itu, berkata agenda TN50 juga untuk melahirkan ramai generasi masa depan yang mampu berjaya di peringkat antarabang­sa dan menjadi pemain global.

“Kenapa saya usahakan TN50? Kita nak dari bawah, dari akar umbi ke atas. Saya mahu buat secara konsensus nasional supaya semua kepentinga­n kaum diambil kira, tetapi sekali lagi keindukann­ya mesti Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Sambil menegaskan rakyat perlu ada daya kesungguha­n untuk berjaya dan membantu melahirkan lebih ramai pemain global, Perdana Menteri berkata, jika rakyat terlalu selesa dengan kedudukan dan tiada kesungguha­n, orang lain akan mengambil peluang itu.

 ?? [FOTO INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA/BH] ?? Najib merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016 di UITM, Shah Alam, semalam.
[FOTO INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA/BH] Najib merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016 di UITM, Shah Alam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia