Berita Harian

Kebenaran buru penculik di perairan Filipina

Mesyuarat khas tiga negara bincang SOP, aspek perundanga­n

- Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Kerajaan Filipina memberi kebenaran kepada pasukan keselamata­n Malaysia dan Indonesia untuk memburu kumpulan penculik dan pengganas sehingga merentasi sempadan maritim negara itu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kebenaran ditawarkan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte itu adalah perkembang­an baharu dalam rangka kerjasama trilateral bagi menangani isu penculikan terutama di Sabah, yang didalangi kumpulan penculik untuk tebusan.

Kebenaran terus buru

“Kebenaran ini dalam erti kata lain, kalau kita sedang mengejar kumpulan penculik atau pengganas, bila sampai sempadan perairan Filipina, mereka beri kebenaran untuk terus mengejar kumpulan itu, kalau tidak akan terlepas.

“Cuma, bila sudah sampai ke sempadan maritimnya, kita hendaklah hubungi pihak tentera laut Filipina bagi maklumkan mereka bahawa kita akan teruskan hot pursuit (buru dan kejar) ini.

“Susulan kebenaran ini, menteri pertahanan dari Malaysia, Indonesia dan Filipina akan bermesyuar­at di Vientienne, Laos, pada 22 November ini bagi membincang­kan prosedur operasi standard (SOP) dan aspek perundanga­nnya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat dua hala dengan Duterte di sini, semalam.

Duterte tiba di sini kelmarin bagi lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, proses perdamaian di selatan Filipina kini memasuki fasa pemantauan dan bukan lagi fasa rundingan.

“Dalam hal ini, Presiden Duterte berkata, beliau menghargai peranan Malaysia dan mengharapk­an kita terus membantu meneruskan tugas pasukan pemantau.

“Oleh kerana kini tidak lagi pada peringkat rundingan, maka kerajaan Filipina tidak perlu seorang fasilitato­r dari Malaysia. Selepas ini tidak ada orang tengah, tapi kita hantar pasukan pemantau kita,” katanya.

Sementara itu, Duterte turut bersetuju supaya 7,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina yang berada di depoh tahanan di Sabah dihantar pulang secara berperingk­at.

Dalam soal ekonomi pula, Najib berkata, Kerajaan Filipina menawarkan kawasan perladanga­n sawit di selatan Filipina kepada syarikat Malaysia yang berminat.

Cari penyelesai­an praktikal

“Bagaimanap­un, ia ada hubung kait dengan isu keselamata­n dan jika kawasan itu lebih terjamin, maka pelaburan Malaysia ke Filipina akan meningkat,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Filipina akan mencari penyelesai­an praktikal untuk membuka pejabat serantau Kawasan Pertumbuha­n Timur Asean-brunei-indonesia-malaysia-filipina (BIMP-EAGA) di Kota Kinabalu, Sabah.

“Pejabat serantau itu dipersetuj­ui oleh anggota BIMPEAGA sebelum ini, namun pelaksanaa­nnya tertangguh berikutan tuntutan Filipina ke atas Sabah. Saya nyatakan cadangan pembukaan Pejabat Konsular di Kota Kinabalu dan Presiden Duterte akan melihat perkara ini dengan serius dan harap ia menjadi kenyataan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia