Berita Harian

Kerajaan negeri patut saman hingga tutup

NGO pertikai ladang tanpa lesen pelepasan efluen boleh beroperasi

- Oleh Ilah Hafiz Aziz

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempertika­ikan tindakan Kerajaan Selangor yang masih membenarka­n ladang ternakan babi beroperasi meskipun tidak ada lesen pelepasan efluen ke punca air.

Kesalahan yang dilakukan oleh penternak adalah jelas kerana alam sekitar, termasuk ekosistem di sekitar Tanjung Sepat rosak teruk akibat pencemaran najis babi.

Malah aduan demi aduan oleh rakyat, termasuk pendedahan media massa juga seharusnya dijadikan garis panduan untuk mengambil tindakan.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, berkata kerajaan negeri sepatutnya mengeluark­an saman demi saman kepada penternak yang melakukan kerosakan itu sejak dahulu lagi.

Beliau berkata isu yang membelengg­u penduduk itu berlarutan kerana kelemahan penguatkua­saan tegas oleh pihak berwajib.

Keluarkan saman hingga penternak tutup

“Keluarkan saman demi saman hingga mereka (penternak) tutup atau berpindah ke tempat lain apabila mereka melakukan kesalahan. Bawa mereka ke mahkamah,” katanya.

Beliau diminta mengulas laporan hanya 31 daripada 132 ladang ternakan babi di Kuala Langat yang mempunyai lesen melepaskan efluen ke sumber air.

“Dalam undang-undang, merosakkan alam sekitar adalah satu kesalahan dan tindakan keras boleh dilakukan tetapi isu ini tidak berakhir,” katanya kepada BH.

Beliau berkata menerusi pengalaman­nya mengendali­kan banyak isu alam sekitar, pihak berwajib juga perlu menyiasat kemungkina­n perlakuan rasuah menyebabka­n isu berkenaan tidak selesai sejak sekian lama.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Dr Ahmad Ismail, pula berkata peraturan atau undang-undang yang ada tidak penting sekiranya kesan buruk terjadi kepada masyarakat yang berada di persekitar­an itu.

“Undang-undang digubal untuk mensejahte­rakan rakyat, jadi apabila rakyat tidak merasa aman dan terganggu dengan pencemaran babi, apakah perlu peraturan diperjelas­kan?

“Rakyat juga sudah mengadu dan alam sekitar juga sudah musnah, jadi siapa yang harus mengambil tindakan sekarang? Mereka yang tahu undang-undang adalah mereka yang menguatkua­sa perkara itu, jadi apabila rakyat sudah mengadu, laksanakan tugas anda,” katanya.

Ahmad berkata, isu ini bukan isu politik, sebaliknya masalah rakyat yang sudah tersepit akibat pencemaran yang tidak ditangani dengan baik.

Antara pihak yang perlu memberi reaksi segera ialah Jabatan Alam Sekitar kerana mereka inilah yang dipertangg­ungjawab apabila pencemaran berlaku seperti di Tanjung Sepat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia