Berita Harian

Pembalakan cemari sumber air tandak

200 penduduk di Padang Terap terpaksa guna air keruh, berkeladak

- Oleh Suzalina Halid

Kegiatan pembalakan di sekitar kawasan puncak Hutan Simpan Bukit Perangin sejak tiga bulan lalu, menyebabka­n pencemaran terhadap sumber bekalan air tandak yang dinikmati kira-kira 200 penduduk Kampung Paya Terap, di sini.

Pencemaran dipercayai berlaku kerana hutan terbabit menjadi kawasan tadahan sumber air kepada kolam tandakan yang dibina penduduk. Tinjauan ke puncak Bukit Perangin bersama penduduk, perlu menempuh laluan mendaki sejauh satu kilometer.

Di kawasan berhampira­n kolah tandakan air yang dibina penduduk, kesan pembalakan dapat dilihat berdasarka­n puluhan pokok balak ditebang walaupun hutan di situ belum digondolka­n sepenuhnya.

Ketika tinjauan, pembalakan tidak berjalan, dipercayai akibat cuaca kurang baik, selain lori juga tiada di situ. Penduduk mendakwa, biasanya lori balak naik ke puncak bukit pada waktu pagi, selain pembalakan dilakukan ketika cuaca baik.

Kira-kira 30 meter daripada lokasi pembalakan, sebuah kolah berukuran kira-kira 30 kaki persegi dibina secara gotong-royong oleh penduduk kampung sejak 1980-an. Air yang dikumpul dalam kolah terbabit disalurkan menerusi paip bawah tanah ke rumah penduduk.

Air tadahan keruh

Tinjauan mendapati, bekalan air kolah tadahan itu kelihatan keruh dipercayai akibat bercampur lumpur dan keadaan didakwa bertambah buruk setiap kali hujan sejak pembalakan bermula di situ.

Bagi penduduk Kampung Paya Terap, pencemaran air tandak itu menimbulka­n kesulitan kepada kehidupan harian kerana bekalan terbabit digunakan untuk mandi dan membasuh pakaian.

Untuk tujuan memasak dan minuman, mereka bergantung kepada bekalan air bersih dihantar Syarikat Air Darul Aman (SADA) menggunaka­n lori tangki ke situ setiap dua hari kerana kampung itu tidak menerima bekalan daripada paip disediakan syarikat utiliti berkenaan.

Warga tua, Zainab Jasin, 90, mendakwa sejak 40 tahun lalu, lebih 30 rumah keluarga penduduk kampung itu menggunaka­n air yang ditandak di puncak bukit untuk semua urusan harian sehinggala­h menerima bekalan yang dihantar SADA bagi tujuan memasak dan minuman.

Katanya, susulan pencemaran kepada bekalan air kolam yang ditandak itu, beliau kini terpaksa menahan rasa gatal pada badan setiap kali mandi.

Zainab berkata, dia terpaksa menggunaka­n air tandakan keruh untuk mandi, namun tidak menyangka ia memberi kesan apabila seluruh badannya gatal.

“Air keruh yang ditadah dalam rumah, sering meninggalk­an keladak pada dasar bekas atau baldi yang digunakan, selain mempunyai bau busuk mungkin kesan lumpur,” katanya.

Penduduk, Faridah Ibrahim, 49, kesal kerana bekalan air tandak yang selama ini amat jernih hingga boleh diminum, kini berubah sama sekali sejak pembalakan di bukit terbabit.

“Air keruh ini setiap kali digunakan untuk mandi akan menyebabka­n rambut terasa keras ekoran kesan mendapan lumpur yang dibawa sama.

“Sayang sekali, keindahan alam semula jadi yang dinikmati penduduk sejak puluhan tahun lalu kini musnah akibat pembalakan. Kami berharap sebarang aktiviti di kawasan bukit ini dipastikan tidak mencemar alam sekitar,” katanya.

Petani, Romli Mat Zain, 60, berkata bekalan air dari bukit terbabit menjadi keruh, malah bertambah teruk setiap kali hujan.

Katanya, susulan pencemaran air bukit terbabit, seluruh ahli keluargany­a kini bergantung sepenuhnya kepada bekalan air daripada SADA yang dihantar ke dalam tong yang ditempatka­n di hadapan rumah setiap penduduk di situ.

 ?? [FOTO SHARUL HAFIZ ZAM/BH] ?? Empangan air Bukit Perangin akan bertukar menjadi kotor setiap kali hujan apabila tanah dan lumpur terperangk­ap di dalam bekas penapis akibat pembalakan di hutan simpan di Bukit Perangin.
[FOTO SHARUL HAFIZ ZAM/BH] Empangan air Bukit Perangin akan bertukar menjadi kotor setiap kali hujan apabila tanah dan lumpur terperangk­ap di dalam bekas penapis akibat pembalakan di hutan simpan di Bukit Perangin.
 ?? [FOTO AMRAN HAMID /BH] ?? Mohd Shahirul Azril Mat Shohor menunjukka­n air berkeladak dari bekalan paip yang dibina penduduk dari sungai di atas Bukit Perangin.
[FOTO AMRAN HAMID /BH] Mohd Shahirul Azril Mat Shohor menunjukka­n air berkeladak dari bekalan paip yang dibina penduduk dari sungai di atas Bukit Perangin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia