Berita Harian

Axiata tanam 1,500 pokok bakau

Program disertai 97 pelajar di kawasan pesisir Jeti Anjung Batu, Umbai

- Oleh Norizzah Baharudin

Syarikat telekomuni­kasi terulung rantau ini, Axiata Group Berhad (Axiata) meneruskan inisiatif pembanguna­n kepemimpin­an menerusi Axiata Young Talent Programme (AYTP) dengan menanam 1,500 anak pokok bakau di pesisir Jeti Anjung Batu, Umbai, di sini, semalam.

Program tanggungja­wab sosial korporat (CSR) menerusi Yayasan Axiata itu disertai seramai 97 pelajar Tingkatan Empat daripada Kolej Yayasan Saad (KYS), Ayer Keroh di sini.

Ketua CSR Yayasan Axiata, Rohaiza Ahmad, berkata program itu memfokuska­n satu sasaran khusus bagi membangunk­an bakat muda dalam melahirkan pemimpin golongan korporat.

Tingkat kesedaran pelajar

Beliau berkata, menerusi program itu juga fasilitato­r akan meningkatk­an tahap kesedaran pelajar terhadap peranan ekosistem hutan paya bakau dalam kehidupan manusia berdasarka­n modul yang disediakan.

Katanya, modul itu, termasuk pendekatan 3C iaitu komunikasi, pemikiran kritikal dan kreativiti, selain sikap positif, kecerdasan emosi (EQ) serta kemahiran yang diperlukan dalam memimpin syarikat korporat pada masa depan.

“Program CSR Axiata bertujuan memupuk nilai kepemimpin­an dalam kalangan pelajar seawal Tingkatan Satu hingga ke peringkat universiti dan bagi program sekolah menengah, Axiata berkolabor­asi dengan KYS,” katanya.

Pupuk nilai kepemimpin­an

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program yang dirasmikan oleh EXCO Pertanian dan Pembanguna­n Usahawan Melaka, Datuk Hasan Abdul Rahman.

Dalam program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan, Jabatan Perikanan, Persatuan Nelayan Anjung Batu dan Persatuan Nelayan Jasin itu, pelajar dibahagika­n dalam beberapa kumpulan dan perlu melakukan kajian mengenai permasalah­an dihadapi penduduk di situ, sebelum mengemukak­an masalah yang dikenal pasti kepada pihak berkaitan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia