Berita Harian

Aqil ingin sepantas Khairul Hafiz

- - Oleh Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Sekali pun tidak berada dalam 'Program Kita Juara 2017', Muhammad Aqil Yasmin yakin dia mampu berlari pantas seperti jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan.

Katanya, perkara itu bukan mustahil apatah lagi jika dia menurut segala tunjuk ajar dan arahan yang diberikan oleh jurulatihn­ya, Simon Lau.

“Saya tidak akan putus asa, Insya-allah saya akan cuba buat yang terbaik untuk atasi kepantasan Khairul Hafiz dalam acara pecut 100 dan 200 meter (m) dengan program yang disusun jurulatih.

“Kalau ikut jurulatih, dia mahukan saya berlari di bawah 10.20s untuk acara pecut 100m dan sebagai anak didik sudah tentu saya akan buat yang terbaik untuk capai sasaran itu,” katanya yang memiliki kepantasan 10.48s dalam acara 100m dan 21.31s bagi 200m, masingmasi­ng dicatatkan di Sukan Malaysia (SUKMA), Sarawak, Julai lalu.

Mengulas lanjut, pemenang pingat perak acara 200m di Bumi Kenyalang itu berkata misinya selepas ini adalah merebut tempat dalam acara 100m dan 200m di Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan.

Sasar sertai Sukan SEA KL

“Misi saya selepas ini sudah tentulah persaingan dan persediaan merebut slot ke Sukan SEA Kuala Lumpur dalam acara 100m dan 200m. Sudah tentu saya mahukan nama saya tersenarai kerana ia bakal menjadi penampilan pertama saya selain aksi di laman sendiri.

“Saya mesti berusaha keras kerana perlu bersaing dengan pencabar hebat seperti Khairul Hafiz, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Jonathan Nyepa kerana apa yang saya tahu hanya dua orang akan dipilih,” katanya.

Dalam pada itu, atlet Selangor itu berkata dia akan menyertai kem penilaian awal untuk skuad 4x100 selepas namanya disenaraik­an bulan lalu untuk menjalani latihan persiapan ke Sukan SEA bersama Khairul Hafiz, Badrul Hisyam, Jonathan dan Muhammad Haikal Hanafi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia