Berita Harian

V Shem-wee Kiong di puncak

Kini beregu utama negara berada di ranking no 1 dunia

- Oleh Mohd Khairie Khalid

Hasrat beregu negara, Goh V Shem-tan Wee Kiong untuk berada di ranking tertinggi menjadi kenyataan apabila Persekutua­n Badminton Dunia (BWF) semalam menyenarai­kan pasangan itu sebagai beregu nombor satu dunia.

Mereka yang tidak pernah terlintas untuk berada di ranking pertama dunia percaya laluan itu nampak lebih jelas selepas mereka memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016.

“Saya amat gembira kerana akhirnya saya dan Wee Kiong berjaya menjadi beregu nombor satu dunia. Kami tidak sangka kerana tidak pernah sasarkan untuk meraih kejayaan secepat ini kerana kami baharu digandingk­an selama dua tahun,” kata V Shem, 27, ketika dihubungi semalam.

BWF yang mengemas kini ranking dunia terbaru itu menunjukka­n V Shem-wee Kiong mengumpul 71,297 mata, diikuti gandingan Chai Biao-hong Wei dari China di kedudukan kedua dengan 70,220 manakala beregu Denmark, Mathias BoeCarsten Mogensen, tempat ketiga dengan 67,534.

Chong Wei kekal

Selepas meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, V Shemwee Kiong muncul juara Terbuka Denmark pada 24 Oktober lalu.

Menurut laman web http://www.bwfbadmint­on.org, jaguh perseorang­an lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei masih kekal pada kedudukan pertama dunia dengan 93,503 mata manakala beregu campuran negara, Chan Peng Soon-goh Liu Ying di tangga keempat dunia dengan 67,060 mata.

V Shem berkata, kejayaan itu seharusnya tidak menjadikan mereka terus selesa, sebaliknya perlu konsisten bagi memastikan kedudukan terbabit bertahan lama.

“Saya harap kami boleh bertahan lama dalam ranking dunia. Kami mesti bermain secara konsisten kerana mata diperoleh daripada kejohanan yang kami sertai.

“Jadi, adalah penting untuk kami memberikan tumpuan kepada kejohanan yang kami sertai. Komunikasi dengan Wee Kiong dan jurulatih, Jeremy Gan juga perlu lebih berkesan selepas ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia