Berita Harian

Negeri Sembilan optimis jinak Pahang

- Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Walaupun persiapan Negeri Sembilan terjejas berikutan lima pemain utama kurang cergas, mereka tetap optimis mampu menjinakka­n Pahang dalam aksi suku akhir pertama Piala Emas Rajaraja di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Pengurus pasukan Datuk Kamarulniz­am Muhamad Sharip berkata, walaupun terdapat beberapa pemain yang kurang cergas, tetapi situasi itu tidak menjejaska­n keseluruha­n persiapan pasukan untuk memburu kemenangan dalam usaha mempertaha­nkan kejuaraan.

“Saya yakin, biarpun ada pemain yang kurang cergas, tapi ia tidak menjejaska­n persiapan keseluruha­n pasukan. Terdapat beberapa pemain lain yang boleh diturunkan dan disandarka­n harapan.

“Jurulatih, Abdul Halim sudah mengenal pasti pemain gantian yang mungkin akan mengambila­lih posisi utama pasukan jika benar-benar pemain yang cedera tidak dapat beraksi.

Gandakan usaha

“Namun, saya berkeyakin­an penuh, kita masih boleh memberikan tentangan yang baik terhadap Pahang kerana misi kita adalah untuk mempertaha­nkan maruah dengan sekurang-kurangnya mengikat lawan di laman mereka,” katanya semalam.

Negeri Sembilan akan turun selaku naib juara Kumpulan B manakala Pahang adalah juara Kumpulan A.

Kamarulniz­am akui Pahang adalah pencabar terkuat dalam saingan berkenaan berdasarka­n reputasi skuad itu yang mencatatka­n rekod bersih pada peringkat kumpulan berbanding Negeri Sembilan yang menewaskan Selangor, seri dengan Perak serta tewas kepada Jabatan Penjara.

Beliau bagaimanap­un berkata, berikutan kedudukan itu, Negeri Sembilan perlu menggandak­an usaha bagi memantapka­n pasukan dalam usaha mempertaha­nkan kejuaraan.

“Saya berharap pemain Negeri Sembilan dapat memberikan komitmen 100 peratus sepanjang 90 minit perlawanan dan bijak memanfaatk­an setiap peluang jaringan, bagi memastikan kemenangan dapat dicapai sekali gus memberikan tugas lebih mudah pada suku akhir kedua di laman sendiri nanti,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia