Berita Harian

Malaysia sedia hadapi perubahan dasar AS

Negara jalin hubungan baik dengan semua negara: Mustapa

- Oleh Ahmad Fiesal Othman dan Mohd Zaky Zainuddin

Malaysia sentiasa bersedia menghadapi apa juga kemungkina­n perubahan di Amerika Syarikat (AS) berikutan kemenangan mengejut Donald Trump dalam pilihan raya Presiden negara itu.

Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata negara sentiasa bersedia terhadap sebarang perubahan dasar di AS dan perlu memantau situasi berikutan senario berkenaan.

“Kita menjalin hubungan baik dengan semua negara termasuk AS, China, Jepun, malah ASEAN serta negara Islam... itu dasar yang kita amalkan,” katanya ditemui di luar pameran Pameran Auto Malaysia 2016 di Seri Kembangan, Selangor, semalam.

Pelaburan lebih besar

Ditanya sama ada 14 perjanjian yang dimeterai dengan China baru-baru ini boleh mengimbang­i kesan ke atas ekonomi Malaysia sekiranya Perjanjian Perkongsia­n Trans-pasifik (TPPA) dibatalkan berikutan kemenangan Trump itu, Mustapa berkata, sumbangan China kepada ekonomi negara masih kecil berbanding AS, Korea Selatan dan Jepun.

Malah, beliau berkata, jumlah pelaburan Malaysia ke China adalah lebih besar berbanding pelaburan negara itu di Malaysia.

“Saya ada menyebut di Parlimen hari ini (semalam) bahawa kita mempunyai pelaburan bernilai AS$7.5 bilion (RM32.15 bilion) di China, manakala pelaburan China di negara ini bernilai AS$2.5 bilion (RM10.72 bilion).

“Kita ada lebih banyak syarikat Malaysia melabur di China seperti Parkson, Sime Darby, Khazanah dan Genting,” katanya.

Sementara itu, Mustapa menjelaska­n kerajaan belum bercadang untuk melakukan sebarang perubahan terhadap Dasar Automotif Nasional (NAP).

Katanya, NAP yang dilancarka­n dua tahun lalu boleh dikatakan sudah lengkap kerana ia merangkumi pelbagai aspek yang diperlukan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia