Berita Harian

20 peratus sasaran dana PUNB untuk sektor automotif

-

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memperuntu­kkan sehingga 20 peratus daripada dana berjumlah RM200 juta yang diumumkan dalam Bajet 2017 untuk disalurkan kepada usahawan dalam sektor automotif tahun depan.

Pengerusin­ya, Tan Sri Mohd Ali Rustam, berkata pembiayaan yang ditawarkan sehingga RM10 juta kepada setiap syarikat yang layak adalah untuk meningkatk­an penyertaan usahawan Bumiputera dalam sektor berkaitan.

“PUNB akan bekerjasam­a dengan Institut Automotif Malaysia (MAI) bagi menawarkan pembiayaan kepada syarikat layak yang terbabit dalam sektor berkaitan automotif seperti operasi bengkel.

“Ketika ini usahawan PUNB dan MAI memiliki lebih 3,500 bengkel di seluruh negara. Mereka ini kita akan bantu dari segi pembiayaan untuk mengembang­kan perniagaan menerusi skim pembiayaan yang PUNB tawarkan,” katanya kepada media selepas melancarka­n Forum Auto 2016 bersempena Pameran Auto Malaysia 2016 di Seri Kembangan, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Dzulkifli Fadzilah dan Ketua Pegawai Operasi MAI, Nizmar Mohd Nazar.

Manfaat kepada 687 syarikat

Tahun lalu, PUNB menyalurka­n pembiayaan berjumlah RM16 juta kepada syarikat berkaitan automotif. Sementara itu, PUNB sudah menyalurka­n pembiayaan berjumlah RM230 juta untuk dimanfaatk­an kepada 687 syarikat berkaitan bidang kenderaan bermotor sejak 2001 hingga 31 Oktober tahun ini.

Mohd Ali berkata bagi pecahan mengikut skim pembiayaan, sebanyak 40 syarikat dengan nilai pelaburan RM80 juta dibangunka­n menerusi Skim PROSPER Pemborong.

“Skim PROSPER Runcit pula sudah membiayai sebanyak 242 syarikat dengan nilai pelaburan RM43 juta.

“Untuk Skim PROSPER Usahawan Muda (PUMA) yang membiayai saiz perniagaan usahawan muda kurang dari RM100 juta, dengan PUNB memberi kelulusan pembiayaan kepada 115 syarikat dengan nilai mencecah RM7.95 juta,” katanya.

Pada 2011, PUNB dengan usaha sama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) melancarka­n Skim PROSPER Teras, khusus untuk membangunk­an usahawan Bumiputera bagi memulakan dan mengembang­kan perniagaan dalam industri terpilih dan strategik.

Automotif adalah antara bidang yang diberi tumpuan selain daripada bidang perniagaan lain seperti perkhidmat­an profesiona­l, bahan binaan dan perkakasan, pendidikan dan telekomuni­kasi.

Untuk rekod, sehingga 31 Oktober lalu PUNB menyalurka­n pembiayaan keseluruha­n sebanyak RM79.94 juta kepada 282 syarikat di bawah Skim PROSPER Teras.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia