Berita Harian

Kualiti perkhidmat­an premis lapangan terbang perlu ditingkat

-

Premis perniagaan di lapangan terbang negara ini disarankan membuat beberapa penambahba­ikan bagi menarik minat lebih ramai pelancong untuk membeli belah di premis berkenaan.

Saranan itu berdasarka­n tinjauan DKMA iaitu sebuah agensi penyedia perkhidmat­an penyelidik­an dan perundinga­n bagi lapangan terbang, yang mendapati kebanyakan lapangan terbang di seluruh dunia tidak memberi perkhidmat­an yang diingini penumpang.

Pengarah DKMA, James Ingram, berkata atas alasan itu, penumpang akan datang ke lapangan terbang pada saat akhir kerana tidak mahu menunggu di terminal yang dianggap tidak menepati cita rasa mereka.

“Pengalaman membeli belah di lapangan terbang tidak sama seperti membeli belah di negara tertentu. Seharusnya premis atau peruncit di lapangan terbang menjual produk atau jenama yang tidak boleh diperoleh di luar.

“Di Malaysia, anda boleh menjual produk tempatan yang paling bagus di negara anda supaya pelancong dapat membelinya untuk dijadikan cenderahat­i kepada rakan di negara masingmasi­ng.

“Selain itu, pemilik premis boleh menjalin kerjasama dengan pihak lapangan terbang untuk mengiklank­an produk mereka di laman web. Jadi, pengunjung dapat mengetahui jenama pilihan yang disediakan sebelum mereka tiba di lapangan terbang,” katanya ketika menjadi panel pada Persidanga­n Syarikat Konsesi Malaysia Airports Ketujuh 2016, di Sepang, semalam.

Perkenal ‘Fly KLIA’

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Perkhidmat­an Komersial, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Mohammad Nazli Abdul Aziz, berkata pihaknya akan memperkena­lkan kempen ‘Fly KLIA’ pada tahun depan bagi mempromosi­kan jenama KLIA kepada pelancong seluruh dunia.

“Kita akan melaksanak­an kempen di media sosial dalam bahasa ibunda negara pelancong yang kita sasarkan, antaranya China, India dan Indonesia.

“Kita akan aturkan beberapa kegiatan yang menarik perhatian pelancong ke KLIA, contohnya membawa artis dari Korea dan menghidang­kan makanan asli Malaysia untuk dirasai pelancong seluruh dunia,” katanya.

Beliau juga mahu pengendali bagasi di lapangan terbang lebih efisien, contohnya menetapkan tempoh masa tertentu untuk pengambila­n bagasi supaya penumpang tidak tergesages­a.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia