Berita Harian

Karang Payung pasti tidak mengecewak­an

-

Di mana ada air, di situ ada ikan. Itulah falsafah kaki pancing memang pantang nampak air, maka akan keluarlah set joran masing-masing untuk mencuba nasib.

Bukan saiz ikan yang dipersoalk­an, tetapi hanya sekadar ingin merasai tarikan penghuni lubuk berkenaan.

Di lubuk Karang Payung di perairan Bachok, Kelantan memang tidak menjanjika­n ikan bersaiz XXL, tetapi sekitar lima hingga 10 kilogram(kg) yang boleh dianggap mampu meruntun jiwa apabila melayannya.

Lubuk ini terletak kira-kira 14 batu nautika dari Pantai Bachok, tujuh batu nautika dari Pulau Susu Dara dan lima batu nautika dari sempadan perairan Terengganu.

Menariknya, lubuk daripada terumbu karang semula jadi itu wujud sejak beratus tahun lalu.

Bentuk terumbu seperti payung

Batu karang yang bersambung­an antara sama lain, menyaksika­n ia membentuk satu lubuk besar hingga keluasanny­a melebihi dua batu nautika persegi.

Dinamakan Lubuk Karang Payung kerana gabungan terumbu karang yang luas itu membentuk seakan-akan sebuah payung.

Di bawahnya menjadi kediaman spesies jemuduk, pari, aruan tasik, kerapu, jenahak, tenggiri, merah dan ebek.

Untuk ke lubuk itu, pemancing boleh berlepas dari jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pangkalan Petah, Bachok dengan bot berenjin 40 kuasa kuda yang lazimnya memerlukan masa tiga jam untuk sampai ke sini.

Lebih gemar umpan hidup

Bagaimanap­un, kini ramai nelayan memiliki enjin bot berkuasa tinggi yang sudah pasti memendekka­n lagi masa perjalanan.

Seperti kebanyakan lubuk, ikan di Karang Payung menggemari umpan hidup berbanding yang sudah mati.

Mungkin pergerakan ikan dan bau darah akibat luka mata kail, menarik minat penghuniny­a.

Tip lain, walaupun ikan di sini kurang daripada 15 kg, namun perambut 50 paun perlu digunakan bagi mengelakka­n ia terputus apabila bergesel dengan batu karang.

Set memancing tidak perlu yang berat, sudah memadai siri 4000 hingga 6000. Sekiranya inginkan lebih kepuasan, gunakan kekili siri 2000 atau 3000 dengan tali 30 paun, pasti aksi ikan lebih menarik.

Untuk memancing di sini, masa yang paling sesuai ialah awal pagi atau petang ketika menghampir­i Maghrib. Ketika inilah ikan galak menyambar umpan yang dilabuhkan pemancing.

Yang pasti di lubuk ini menjanjika­n pemancing tidak akan pulang dengan tangan kosong.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia