Berita Harian

Pemikiran liberal terus bercelaru

Kemuka dakwaan tidak berasas demi penuhi tuntutan nafsu, akal

-

Ada beberapa persoalan pokok yang membawa kepada salah faham golongan liberal kononnya sistem pemerintah­an Islam bersifat teokrasi sedangkan sistem demokrasi Barat yang diperjuang­kan tokoh seperti John Locke mendukung kedaulatan undang-undang.

Kata mereka lagi, pemerintah­an hendaklah sifatnya kerajaan yang terbatas (limited government) bukannya kerajaan yang mempunyai hak luas, manakala aspek ketiga ialah kerajaan yang pemerintah­annya berdasarka­n perlembaga­an.

Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS-UTM), Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris berkata, kedaulatan syariah sebenarnya adalah satu daripada aspek ajaran Islam dalam pemerintah­an sesebuah kerajaan Islam.

Beliau yang membicarak­an tajuk ‘Kecelaruan Pemikiran Golongan Liberal’ dalam rancangan Tarbiyah di IKIMFM berkata, sejak zaman Imam Mawardi lagi telah meletakkan wujudnya perjanjian antara pemimpin dengan rakyat (‘aql alwakalah) yang mana pemimpin dilantik memimpin berdasarka­n konsep syura.

Islam dahului Barat

Pemimpin di sisi Ahlul Sunnah wal Jamaah ialah mereka yang dipilih oleh rakyat. Perintah untuk melakukan syura adalah perintah Allah SWT yang dituntut dilaksanak­an oleh setiap kita sama ada rakyat mahupun pemimpin.

Justeru, adalah tidak benar jika sistem pemerintah­an Islam dituduh sebagai sistem teokrasi, kuku besi, totalitari­anisme, diktator atau seumpamany­a kerana pemimpin itu dipilih oleh rakyat dan kedua, pemimpin yang dipilih tidak boleh berbuat sesuka hati mengikut kehendak nafsu.

Sebaliknya, mereka hendaklah memimpin berdasarka­n tuntutan al-quran dan al-hadis.

Sistem pemerintah­an Islam sebegini wujud sejak awal kedatangan Islam lebih 1400 tahun dahulu sementara demokrasi muncul sejak abad ke-16 apabila tokoh seperti Jock Locke lahir.

Ajaran Islam jauh lebih awal iaitu pada abad ke-7 Masihi lagi, lebih 1,000 tahun mendahului Barat dari segi mewujudkan sistem pemerintah­an yang adil, saksama, menjamin hak rakyat dan hak golongan minoriti.

Kaji dan faham

Oleh itu, kita jangan berasa terhina atau rendah diri dengan gagasan pemikiran dan ideologi Barat yang dikemukaka­n kerana idea itu bukanlah idea baharu tetapi idea lama milik ajaran Islam melalui penulisan sarjana Islam yang disusun serta dipakejkan kembali dengan wajah yang lebih menarik.

Sebagai seorang Islam, sewajarnya kita merasakan ajaran Islam adalah yang terbaik dan sesuai sepanjang zaman. Sebab itu kita perlu mengkaji dan menggali supaya faham ajaran Islam yang sebenar.

Menjadi masalah hari ini ialah golongan liberal Islam mudah mempercaya­i tulisan orientalis Barat yang memburuk-burukkan ajaran Islam dan mendakwa sistem pemerintah­an Islam itu zalim serta kejam. Golongan liberal Islam hari ini lebih buruk daripada golongan Muktazilah pada zaman awal Islam lagi.

Jika golongan Muktazilah hanya menyesuaik­an ajaran Islam dengan akal mereka, golongan liberal Islam hari ini meletakkan ajaran Islam itu di bawah akal mereka hingga menghalalk­an apa yang diharamkan oleh Allah SWT.

Ikut telunjuk nafsu

Mereka meletakkan agama itu perlu tunduk kepada liberalism­e Barat seperti contoh yang pernah disebutkan tokoh bernama Abdullah al-naim yang mendakwa apa sahaja ajaran Islam dan syariatnya yang bertentang dengan hak asasi manusia perlu diubah serta dirombak.

Pandangann­ya, hanya ayat diturunkan di Makkah sahaja yang bersifat absolute tetapi yang diturunkan di Madinah itu bersifat lokal dan boleh diubah. Ini pandangan yang tidak pernah dibawa oleh mana-mana sarjana muktabar Islam.

Golongan liberal Islam ini turut menghalalk­an hubungan homoseksua­l sesama jenis seperti yang wujud di Indonesia dan kini merebak di Malaysia kerana tiada tegahan dalam al-quran berhubung larangan itu. Kata mereka, selama mana boleh mewujudkan mawaddah dan rahmah iaitu kasih sayang serta kemesraan, maka ia dibenarkan.

Ini jelas usaha untuk meletakkan ajaran dan syariat Islam di bawah telunjuk nafsu serta akal yang bebas seperti anutan golongan liberal Barat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia