Berita Harian

Tegas, telus mampu bendung ‘kren tumbang’

-

Hari ini pengguna jalan raya bukan sahaja terdedah kepada kemalangan seperti pelanggara­n sesama kenderaan ataupun kenderaan terbabas, tetapi ia juga berpunca daripada elemen yang berada di luar jalan raya.

Kemalangan tragis yang menyebabka­n kematian masing-masing seorang pemandu dan penumpang kereta akibat dihempap sebuah kren dari kawasan pembinaan di Persiaran Astana, Klang pada minggu lalu adalah contoh kejadian terkini yang bukan dikategori sebagai kemalangan biasa jalan raya.

Pada 25 Ogos lalu, seorang wanita juga maut selepas kereta dipandunya dihempap cangkuk kren yang jatuh dari kawasan pembinaan di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Ini bermakna dalam tempoh kurang daripada tiga bulan, dua kemalangan maut membabitka­n pemandu dan penumpang kenderaan dihempap kren berlaku di negara ini.

Ia tidak termasuk kemalangan serupa yang tidak membabitka­n kematian atau kecederaan serta kemalangan yang tidak dilaporkan oleh media massa.

Peningkata­n trend kejadian kren tumbang atau bahan binaan jatuh di laluan yang sibuk dengan kenderaan amat membimbang­kan memandangk­an kini terlalu banyak pembanguna­n sedang dilaksanak­an seluruh negara.

Justeru, langkah pencegahan segera amat ditagih daripada pihak berkuasa berkaitan, termasuk penguatkua­saan dan tindakan dari segi perundanga­n bagi mengelakka­n kejadian serupa berulang.

Ini termasuk memastikan syarikat yang melaksanak­an kerja pembinaan berhampira­n atau membabitka­n laluan jalan raya mematuhi segala standard prosedur operasi (SOP) yang ditetapkan, khususnya membabitka­n aspek keselamata­n.

Bagi syarikat yang telah terbabit dengan kejadian seumpama itu, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka. Ini termasuk mengeluark­an arahan berhenti kerja sehingga semua langkah keselamata­n dipatuhi, selain tindakan tegas perundanga­n.

Pada masa sama, pihak berkuasa berkaitan perlu melakukan pemeriksaa­n mengejut dari semasa ke semasa ke tapak pembinaan seumpama itu bagi memastikan syarikat terbabit sentiasa mematuhi SOP kerja.

Hanya langkah penguatkua­saan tegas, telus dan tanpa takut mampu membendung atau sekurang-kurangnya meminimumk­an risiko kejadian kren tumbang atau bahan binaan jatuh ke jalan raya daripada berulang pada masa depan.

Mutazar Abd Ghani

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia