Berita Harian

Penduduk Ladang Tumbuk tak mahu babi Batu Laut

Kawasan ladang moden dipilih Selangor dekat penempatan orang Melayu

- Oleh Ilah Hafiz Aziz

Penduduk berhampira­n Ladang Tumbuk, Kuala Langat, menolak cadangan Kerajaan Selangor menjadikan kawasan mereka sebagai lokasi Ladang Penternaka­n Babi Moden (MPF).

Ini kerana kawasan yang dicadangka­n itu berdekatan dengan penempatan orang Melayu dan tidak menyelesai­kan isu berkenaan.

Pengerusi Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung Persekutua­n (JKKKP) Tumbuk Darat, Tarmudi Tushiran, 61, berkata beliau dan penduduk kampung menolak cadangan Kerajaan Selangor untuk memajukan penternaka­n babi moden di Ladang Tumbuk.

Katanya, walaupun usaha itu baik untuk mewujudkan sebuah pusat penternaka­n babi moden dan mesra alam, lokasi di Ladang Tumbuk tidak sesuai kerana dikhuatiri menimbulka­n masalah pencemaran bau seperti yang terjadi di Kampung Batu Laut.

Penempatan Melayu

“Saya tidak melihat perkara itu menyelesai­kan masalah yang ada walaupun kerajaan negeri memberi alasan teknologi hijau dari luar negara akan digunakan.

“Kawasan yang dicadangka­n itu terlalu hampir dengan penempatan Melayu walaupun didakwa sudah mempunyai kandang babi yang didirikan secara tradisiona­l. Lokasi itu juga dekat dengan tanah perkuburan Islam.

“Mungkin hari ini tidak timbul masalah tetapi siapa tahu akan jadi perkara sama seperti di Kampung Batu Laut yang tercemar teruk akibat penambahan bilangan kandang babi pada masa akan datang. Kami tidak boleh berkomprom­i dengan perkara ini,” katanya kepada BH, semalam.

Tarmudi berkata, alasan penggunaan teknologi hijau dari luar negara adalah terlalu lemah kerana beliau sendiri pernah dijemput ke Jerman untuk melihat kandang babi moden di negara itu, beberapa tahun lalu.

“Berbeza dengan lokasi di Ladang Tumbuk, kandang babi di Jerman jauh daripada penempatan penduduk.

“Malah saya sendiri masuk dan merasai pengalaman berada di kandang itu dan cukup terkesan apabila bau busuk yang melekat pada tubuh ketika kandang itu dibuka.

“Mungkin kandang moden itu akan dibuat secara tertutup tetapi apabila dibuka siapa akan menerima kesannya? Pastinya penduduk kampung berhampira­n,” katanya.

Pertikai rancangan

Tarmudi mempertika­ikan rancangan kerajaan negeri yang memilih kampung itu sebagai ladang babi sedangkan ada kawasan tanah milik negeri yang sudah mempunyai akses yang baik.

Kelmarin, EXCO Infrastruk­tur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berjanji kerajaan negeri akan memindahka­n kandang babi di Kampung Batu Laut ke satu penempatan baharu di Ladang Tumbuk, Tanjung Sepat tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung Persekutua­n (JKKP) Batu Laut, Ahmad Abd Karim, pula berharap janji kerajaan negeri untuk memindahka­n kandang babi di kampung itu tidak mengulangi skrip sama setelah diasak pelbagai pihak.

“Kami gembira dengan janji yang diberikan kerajaan negeri yang serius mahu membantu tetapi kami juga berharap ini bukan sekadar jawapan politik serta omong kosong sahaja,” katanya.

 ?? [FOTO HAFIZ SOHAIMI/BH] ?? Ketua kampung, Mohamad Azam Hashim ketika melihat keadaan Jeti Tanjung Layang yang tercemar akibat kandang babi di sekitar Kampung Batu Laut. Tarmudi Tushiran, Pengerusi JKKKP Tumbuk Darat
[FOTO HAFIZ SOHAIMI/BH] Ketua kampung, Mohamad Azam Hashim ketika melihat keadaan Jeti Tanjung Layang yang tercemar akibat kandang babi di sekitar Kampung Batu Laut. Tarmudi Tushiran, Pengerusi JKKKP Tumbuk Darat
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia