Berita Harian

Tiga saudara maut nahas 4 kenderaan

Kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ekoran jalan raya licin

- Oleh Norhayati Zainudin

Rasa tidak sedap hati seorang bapa selepas anaknya lewat pulang dari sekolah, terjawab apabila anak perempuann­ya itu didapati maut bersama dua lagi saudaranya dalam nahas empat kenderaan di Jalan Padang Sebang di sini, petang kelmarin.

Dalam kemalangan jam 6.30 petang, kira-kira satu kilometer dari Balai Polis Pulau Sebang itu, Nur Syarifah Azura Ramzi, 16; saudaranya, Muhammad Haziq Norhesyam, 15, dan pemandu, Herman Md Johan, 23, maut selepas kereta PROTON Saga dinaiki bersama Daniel Jamaludin, 15, dari arah Tampin, Negeri Sembilan ke Alor Gajah bertembung dengan PERODUA Axia. Daniel pula cedera dan dirawat di Hospital Tampin.

Bapa Nur Syarifah Azura, Ramzi Maarop, 41, ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Alor Gajah, semalam, berkata sebelum ini anak sulung daripada tiga beradik itu tidak pernah pulang dari sekolah menaiki kereta, sebaliknya dijemput oleh beliau sendiri atau menaiki bas di perhentian AG Sentral, di sini.

“Semalam (kelmarin), saya rasa tak sedap hati kerana dia pada biasanya akan sampai ke rumah, antara jam 2 hingga 6 petang. Bagaimanap­un, selepas dia tidak turun dari bas terakhir yang lalu di depan rumah pada jam 6.30 petang, saya bertambah risau.

Gagal cari anak

“Saya kemudian keluar mencarinya di AG Sentral dan rumah saudara di Ayer Paabas, namun tidak juga menemuinya. Saya tidak sangka ia (tidak turun bas terakhir) petanda anak saya akan meninggalk­an kami selama-lamanya,” katanya yang dimaklumka­n mengenai kejadian itu oleh pihak hospital, jam 7 malam.

Nur Syarifah Azura yang juga pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Haji Talib Karim dan Herman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah.

Tercampak keluar

Pelajar Tingkatan Tiga di sekolah sama, Muhammad Haziq yang dipercayai tercampak keluar dari cermin belakang kereta meninggal dunia di Hospital Tampin.

Isteri Herman, Fatin Nur Hidayah Norhesham, 20, berkata suaminya mahu membawa adiknya, Muhammad Haziq mencari peralatan motosikal dan pada masa sama, Nur Syarifah Azura meminta menghantar­nya pulang ke rumah.

“Beberapa kali saya menghubung­i suami, tetapi gagal dan tanda tanya itu akhirnya terjawab apabila saya mendapat berita kematianny­a daripada pak cik saya,” katanya yang sarat mengandung tujuh bulan.

Kereta hilang kawalan

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkua­saan Trafik negeri, Pemangku Superinten­dan Mohd Sham Abdullah, berkata siasatan awal mendapati, PROTON Saga itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki laluan bertentang­an disebabkan keadaan jalan yang licin akibat hujan lebat.

“PROTON Saga berkenaan kemudian bertembung dengan PERODUA Axia dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dan pada masa sama, PROTON Exora dan Wira di belakang PERODUA Axia itu tidak sempat mengelak lalu turut terbabit dalam kemalangan.

“Bagaimanap­un, pemandu PERODUA Axia dan PROTON Exora, masing-masing berusia 29 dan 35 tahun hanya cedera dan kini dirawat di Hospital Tampin, manakala pemandu PROTON Wira berusia 26 tahun pula tidak cedera,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

 ?? [FOTO IHSAN PEMBACA] ?? Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan Padang Sebang, Alor Gajah, kelmarin.
[FOTO IHSAN PEMBACA] Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan Padang Sebang, Alor Gajah, kelmarin.
 ??  ?? Nur Syarifah Azura Ramzi
Nur Syarifah Azura Ramzi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia