Berita Harian

Lorenzo teruja bersama Ducati

Namun akui janggal bakal berentap dengan ‘rakan sebumbung’, Rossi musim depan

-

Berlumba dalam pasukan berlainan bakal menyediaka­n banyak kelebihan buat Jorge Lorenzo terhadap rakan pasukannya ketika ini iaitu Valentino Rossi, musim depan.

Kedua-dua pelumba ini berkongsi garaj sama sejak tujuh musim lalu bersama Yamaha namun Lorenzo sudah bersedia untuk perlumbaan terakhirny­a bersama jentera YZR-M1 di Valencia Sepanyol hujung minggu ini sebelum beralih ke pasukan Ducati.

Lorenzo berkata, perasaan ‘bebas’ daripada tekanan saingan antara mereka berdua apabila berada di bawah satu bumbung pastinya akan bertambah, musim depan.

“Saya fikir, buat masa sekarang ia akan menjadi lebih baik kerana ketika ini kami belajar antara satu sama lain tetapi selepas ini, kami berada dalam pasukan berlainan. Apa yang kami belajar sesama sendiri sebelum ini akan diterapkan di litar perlumbaan nanti,” kata Lorenzo.

“Sebelum ini, apabila kami berada dalam satu pasukan, salah seorang perlu menamatkan perlumbaan di hadapan yang lain tetapi kini mungkin kami boleh mengambil peluang daripada apa yang dipelajari.”

Sukar tinggalkan Yamaha

Lorenzo mengakui sukar untuk meninggalk­an Yamaha tetapi dalam masa sama turut teruja untuk berdepan cabaran baharu bersama Ducati.

“Secara jujurnya, ia satu perasaan bercampur baur. Saya mahu mencuba dan menamatkan perlumbaan dengan keputusan terbaik bersama Yamaha dan mereka sudah banyak membantu dalam karier saya.

“Kami berada di trek yang sangat sebati dengan saya, terutamany­a pada tahun lalu, jadi saya fikir sekiranya cuaca terus baik dan tayar juga baik, kami mempunyai peluang untuk bersaing merebut kemenangan ataupun setidak-tidaknya berada di podium.

“Ia agak janggal kerana saya sudah beberapa tahun bersama orang yang sama dan jentera sama dan apa yang sedih, kamu perlu bertukar dan mempelajar­i sesuatu yang baharu,” katanya.

“Sekarang, kami mempunyai beberapa hari lagi bersama Yamaha dan apabila tamatnya perlumbaan Ahad ini, barulah kami akan memikirkan mengenai motosikal seterusnya.”

 ??  ?? Lorenzo (kiri) bersama Rossi, di Valencia, kelmarin.
Lorenzo (kiri) bersama Rossi, di Valencia, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia