Berita Harian

Messi, rakan belum menyerah kalah

-

Sao Paulo: Jurulatih Argentina, Edgardo Bauza masih enggan menyerah kalah walaupun pasukannya tewas 3-0 kepada Brazil pada aksi kelayakan Piala Dunia, semalam.

Malah, ia adalah perlawanan keempat yang diharungi Argentina tanpa kemenangan tetapi beliau tetap berjanji betapa pasukannya akan layak ke pusingan akhir di Russia.

“Masih banyak yang kami perlu lakukan sebelum kempen kelayakan ini berakhir,” katanya selepas kemenangan mudah Brazil ke atas anak buahnya di Belo Horizonte.

“Kami tahu kelayakan masih bergantung kepada apa yang kami lakukan. Perlawanan menentang Colombia nanti akan berbeza,” katanya mengenai perlawanan menentang pasukan tempat ketiga itu minggu depan.

Di kedudukan keenam

Argentina berada di kedudukan keenam daripada 10 pasukan Zon Amerika Selatan dengan mengumpul 16 mata selepas 11 perlawanan.

Hanya empat pasukan teratas akan layak secara automatik ke Russia dan pasukan di tangga kelima perlu mengharung­i perlawanan play-off dengan pemenang dari Oceania.

Bauza tampak perlu melakukan banyak penilaian selepas hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan manakala pemainnya juga bakal berdepan banyak soalan selepas mereka tewas menerusi jaringan Neymar, Philippe Coutinho dan Paulinho.

Sementara itu, Lionel Messi berkata: “Apabila mereka (Brazil) menyerang dengan hebat, kami bergelut untuk menghalang­nya.

“Kami sedar bahawa banyak yang perlu diperbaiki. Pungutan mata yang tidak baik, satu perkara yang baik adalah kami bergantung kepada diri sendiri, namun kami tidak boleh tercicir mata lagi.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia