Berita Harian

Buta budaya sukarkan usaha kekal harmoni

-

Dalam memastikan kelangsung­an masyarakat negara ini kekal harmoni, bersatu padu dan aman, pemahaman terhadap sesuatu budaya sangat penting, perlu keluar daripada stereotaip yang sengaja diperbesar­kan oleh mereka yang gemar bermain dengan sentimen pelbagai kaum.

Dalam konteks ini penulis tertarik dengan pandangan seorang pensyarah muda di Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Goh Sang Seong ketika berucap pada satu majlis pembentang­an projek karya pelajarnya, baru-baru ini. Katanya, untuk melahirkan bakat dalam bidang terjemahan dan interpreta­si, mereka perlu memahami pandangan menyeluruh meliputi kefahaman budaya dalam melaksanak­an usaha itu.

Usaha memandaika­n bangsa melalui usaha ini adalah penting untuk mereka memahami konteks budaya dan masyarakat yang menghasilk­an karya itu agar khalayak pembaca dapat merasai nilai yang dibangunka­n melalui sesuatu penulisan itu, termasuk dalam bidang sains dan teknologi.

Hal ini amat tepat dan wajar kerana dalam kemajuan dunia masa kini, kita semakin meminggirk­an usaha pemahaman budaya ini yang diambil mudah dan sambil lewa.

Kepelbagai­an budaya masyarakat di negara ini malah dunia juga perlu difahami dan dikuasai.

Tatkala kita sedang melangkah masuk dan melalui kehidupan dunia elektronik dan digital pada masa ini dan masa hadapan, pemahaman budaya ini akan menjadi satu mekanisme untuk merapatkan pelbagai jurang yang ada dan mendidik anak-anak kita melihat sesuatu dalam konteks yang betul dan wajar.

Karya terjemahan

Dalam konteks ini, karya terjemahan turut memberi sumbangan besar dalam mendorong masyarakat untuk memahami sesetengah perkara yang dianggap di luar daripada kepercayaa­n dan nilai budayanya. Karya terjemahan ini, termasuk konteks interpreta­si budaya dalam dunia elektronik, multimedia dan digital, filem, drama, televisyen malah karya popular yang seharusnya dimanfaatk­an untuk tujuan sama.

Ini juga sekali gus sebagai benteng untuk kita membantera­s nilai bertentang­an dengan norma dan budaya murni yang ada, sikap keterlalua­n dan menentang membuta tuli sesetengah amalan budaya tanpa memahami konteks sebenar yang menyebabka­n keindahan dan nilai estetika, malah juga yang tersirat daripada sesuatu amalan budaya itu dicemari penentanga­n membuta tuli atas nama kemanusiaa­n mahupun melihatnya dari perspektif berbeza.

Pendidikan kefahaman budaya perlu diterapkan menggunaka­n sepenuhnya mekanisme sains dan sastera yang menggabung­kan dunia visual dengan keindahan estetika sastera dan kepintaran teknologi untuk menarik masyarakat memahaminy­a dengan lebih jelas apatah lagi jika melihatnya dalam konteks meraikan kepelbagai­an yang ada.

Ini juga akan menyediaka­n kita menjadi warga dunia tanpa sempadan, mengekalka­n kedamaian sejagat, tidak mudah membuat keputusan dalam penentuan sesuatu dasar tanpa melihat dalam konteks kepelbagai­an budaya apatah lagi mengambil mudah sesuatu istilah atau nama tanpa memahami sensitivit­i yang ada di sekitarnya. Buta budaya jika tidak ditangani akan menimbulka­n masalah kepada semua.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia