Berita Harian

KPDNKK siasat dakwaan seludup petrol guna kereta persendiri­an

Kesan dalang kegiatan, kenakan tindakan sewajarnya

- Oleh Zanariah Abd Mutalib

Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an (KPDNKK) akan menyiasat dakwaan mengenai kegiatan penyeludup­an petrol di sempadan Thailand menggunaka­n kereta persendiri­an.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata dalang kegiatan itu akan dikesan dan dikenakan tindakan sewajarnya kerana menyeludup keluar barang terkawal itu untuk dijual kepada warga negara jiran.

“Siapa pun yang melakukan kesalahan, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Multaqa Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (GASMA) kali pertama yang turut dihadiri Presiden GASMA, Dr Fadlan Mohd Othman, di sini semalam.

Didakwa semakin berleluasa

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar semalam mengenai kegiatan penyeludup­an petrol ke Betong, Thailand menggunaka­n kereta persendiri­an yang didakwa semakin berleluasa.

Sementara itu, Hamzah berkata, bekalan minyak masak di pasaran sudah mula meningkat sejak minggu lalu dan dijamin pulih sepenuhnya minggu ini.

Pantau setiap hari

Katanya, kementeria­n akan membuat pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan barang keperluan itu mencukupi, selain mengambil tindakan tegas terhadap peruncit yang melanggar peraturan.

“Minggu depan (minggu ini), insya-allah (isu bekalan minyak masak) akan selesai dan tidak timbul lagi,” katanya.

Mengenai penubuhan GASMA, Hamzah yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata ia usaha untuk menyatukan penggerak dakwah, pendidik dan aktivis kebajikan di Malaysia supaya mampu menjadi ejen perubahan yang positif serta progresif dalam masyarakat.

“Dalam apa juga yang kita lakukan, perlu ada kerjasama di antara ulama dan pemimpin agama. Dengan cara itu, masalah boleh diselesaik­an dan memastikan negara sentiasa aman tanpa fitnah yang boleh merosakkan masa depan negara,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia